suria

Malaysia Hantar Pelajar Ikuti Pengajian 'M.I.T Mobility Programme' Mulai 2011

PUTRAJAYA: Malaysia akan mula menghantar pelajarnya mengikuti kursus di bawah Malaysia-Indonesia-Thailand (M.I.T) Mobility Programme' pada tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata menerusi program tersebut pelajar berkenaan akan menghabiskan satu semester di institusi pengajian tinggi di Thailand dan Indonesia.

Buat masa sekarang, terdapat 46 pelajar Indonesia dan 11 pelajar Thailand sedang mengikuti pengajian di universiti negara kita menerusi program ini, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu, di sini Selasa.

Beliau berkata program itu melibatkan 23 universiti iaitu enam universiti tempatan, enam universiti Thailand dan 11 universiti Indonesia.

"Ketika ini, hanya lima bidang pengajian ditawarkan iaitu pertanian, bahasa dan budaya, hospitaliti dan pelancongan, perniagaan antarabangsa,sains makanan, dan teknologi," katanya.

Program itu, katanya akan diperluaskan dalam masa lima tahun akan datang kepada 10 bidang pengajian dengan penyertaan semua negara Asean.

"Kami juga mensasarkan penyertaan kira-kira 500 pelajar di masa akan datang melibatkan 10 buah negara ini kelak," katanya.

Terdahulu semasa berucap, Mohamed Khaled berkata tiga komponen struktur perlu dilaksanakan untuk memastikan kejayaan program tersebut iaitu sesi akademik yang serentak, instrumen penilaian yang setara dan jaminan kualiti pelajar yang universal.

"Kita dapati dalam M.I.T Mobility Programme bahawa perbezaan struktur pada kalangan sistem pendidikan tinggi boleh menjadi halangan dan dihadapi kita semua termasuk pada peringkat antara rantau," katanya.

Beliau berkata sesi akademik yang tidak serentak pula memperlahankan pelaksanaan program itu, manakala isu perpindahan kredit menyukarkan lagi proses.

'M.I.T Mobility Programme' bertujuan menggalakkan mobiliti pelajar bagi mengharmonikan pendidikan tinggi di rantau Asia Tenggara, selain memberi peluang kepada mereka menimba pengalaman akademik di negara asing.

Enam universiti tempatan yang menyertai program itu ialah Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Teknologi MARA. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain