suria

UPA Bekerjasama Dengan CIMA Tawar Kursus Kewangan Islam

KUALA LUMPUR: Akademi Profesional UCSI (UPA), yang memeterai memorandum persefahaman dengan Institut Bertauliah Akauntan Pengurusan (CIMA), akan mula menawarkan kursus kewangan Islam pada 16 Oktober, 2010.

Kerjasama itu dianggap unik kerana UPA akan menawarkan sijil CIMA dalam Kewangan Islam serta kursus perakaunan CIMA, kata pengurusnya Sudesh G. Balasubramaniam kepada pemberita selepas majlis permeterian di sini.

Mewakili CIMA ialah pengarah eksekutifnya bagi pendidikan, Dr Robert Jelly.

Sudesh berkata Sijil CIMA dalam Kewangan Islam adalah kelayakan pertama ditawarkan oleh sebuah badan perakaunan profesional untuk menumpukan kepada segmen yang sedang pantas berkembang itu.

"UPA akan menjadi institusi pertama di Malaysia diiktiraf sebagai Sekutu Kewangan Islam CIMA, dan diberikan hak eksklusif untuk menyediakan kursus persediaan peperiksaan," katanya.

Bersempena dengan majlis permeterian itu, Jelly mengadakan taklimat bertajuk "Kewangan Islam: Pembangunan dan Aliran Global", yang mendedahkan bahawa kelayakan profesional tidak terdapat dalam sektor kewangan Islam.

Menurutnya, mustahak untuk membawa masuk golongan profesional ke dalam industri berikutan peningkatan perkadaran orang Islam dan bukan Islam di seluruh dunia yang mencari produk kewangan Islam.

Kursus itu mempunyai empat modul terdiri daripada undang-undang komersil Islam, perbankan Islam, takaful dan produk pasaran modal Islam. Tempohnya adalah daripada dua bulan hingga enam bulan. - BERNAMA

Artikel Lain