suria

Rancangan Tubuh Jabatan Bahasa Malaysia di University Of Madras

CHENNAI: Satu perancangan sedang dirangka bagi menubuhkan satu Jabatan Bahasa Malaysia University of Madras pada akhir tahun ini, sebagai satu usaha memperkenalkan sastera dan kebudayaan Melayu di selatan India.

Naib Canselor universiti itu Dr D. Thiruvasagam berkata Malaysia dan University of Madras menandatangani satu perjanjian pada tahun 1990-an tetapi projek berkenaan gagal dilaksanakan.

Namun begitu, lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ke Chennai pada Januari lepas menghidupkan kembali minat berkenaan.

"Apabila Perdana Menteri Malaysia melawat Tamil Nadu, perkara itu telah dimasukkan dalam agenda, yang kemudiannya dibincangkan oleh beliau dan Ketua Menteri Tamil Nadu (M. Karunanidhi).

"Idea asas perjanjian itu ialah University of Madras perlu menyediakan infrastruktur manakala komitmen lain akan dilakukan oleh kerajaan Malaysia. Saya berharap ia akan dapat direalisasikan dalam tempoh enam bulan akan datang," katanya.

Kerajaan Malaysia dijangka menyediakan peruntukan pembiayaan dan petugas akademik sewajarnya bagi projek itu.

Diwujudkan pada 1857, University of Madras, yang terletak di Tamil Nadu, merupakan sebuah institusi tertua di negara itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain