suria

Dr Mohamed Mustafa Dilantik Naib Canselor UUM Yang Baru

KUALA LUMPUR: Profesor Dr Mohamed Mustafa Ishak dilantik sebagai Naib Caunselor baru Universiti Utara Malaysia (UUM) menggantikan Tan Sri Dr Nordin Kardi yang akan bersara setelah berkhidmat selama lima tahun.

Dr Mohamed Mustafa, 50, telah berkhidmat dengan UUM selama 25 tahun, sebelum ini menjawat jawatan Naib Caunselor (Akademik dan Antarabangsa).

Pelantikan beliau untuk tempoh tiga tahun mulai 16 Jun ini hingga 15 Jun 2013 diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin dalam satu kenyataan hari ini.

Prof Mohamed Mustafa berkelulusan PhD (Sosiologi Politik) dari University of Leeds dan MA (Politik) dari University of York, England.

Beliau merupakan staf akademik awal UUM yang memulakan kerjaya akademik dari peringkat bawah sebagai seorang tutor dan kemudiannya sebagai pensyarah sehinggalah dilantik sebagai profesor dalam bidang politik dan pengajian antarabangsa.

Prof Mohamed Mustafa turut dikenali kerana sering menulis dan memberikan pelbagai komentar dan analisis politik nasional dan antarabangsa kerana kepakaran beliau sebagai seorang profesor dalam bidang Sains Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa.

Beliau turut memegang jawatan sebagai ketua kluster politik, keselamatan dan hal ehwal antarabangsa Majlis Profesor Negara di peringkat nasional dan presiden Persatuan Pengajian Antarabangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain