suria

Kist, Unimed Jalin Kerjasama Lahir Graduan Psikologi

BACHOK: Menerusi kerjasama yang lebih erat, lebih ramai pelajar bidang psikologi Kolej Islam Sains dan Teknologi (Kist) akan dihantar belajar ke Universitas Medan (Unimed).

Naib Presiden Akademik Kist, Prof Dr Azwan Abu Bakar berkata, dijangka seramai 20 pelajar Kist lagi dapat dihantar menyambung pengajian di Unimed tahun depan.

"Sebelum ini bermula 2008, seramai tujuh pelajar Kist telah dihantar menyambung pengajian dalam bidang psikologi di Unimed di mana mereka kini dalam peringkat terakhir menjalani latihan praktikal sebelum memperolehi ijazah masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan rombongan Unimed ke kampus Kist di Telong di sini.

Dr Azwan berkata, Kist dan Unimed menjalin perjanjian persefahaman pada 2005 untuk membolehkan pelajar Kist menyambung pengajian psikologi peringkat ijazah ke Unimed.

"Pemilihan Unimed adalah berdasarkan keutamaan di mana di Unimed tidak ada bidang kejururawatan yang menjadi fokus utama Kist, tetapi mempunyai bidang psikologi yang menjadi keutamaan Unimed," katanya.

Naib Rektor Hal Ehwal Pelajar Unimed, Dr Berlin Sibarani pula berkata, Kist merupakan kolej yang dilihat sentiasa mahu meningkatkan prestasi pelajarnya, menjadikan ia menjadi pilihan Unimed untuk menjalin kerjasama.

"Kist sangat luar biasa, sudah tentu menguntungkan bagi Malaysia dan Indonesia apabila terjalin kerjasama dalam bentuk pengiriman pelajar," katanya.

"Seramai tujuh pelajar Kist sudah menyelesaikan kuliah mereka di Unimed dan kini sedang melakukan praktikal yang baik di Rumah Sakit (hospital) dan tempat kaunseling.

"Pelajar Kist sangat layak, pantas, pasti mereka akan berjaya menjadi pakar dalam bidang psikologi apabila tamat pengajian nanti," kata Dr Berlin. - BERNAMA

Artikel Lain