suria

USM Anjur Karnival Dekatkan Generasi Muda Dengan Sains, Seni

PULAU PINANG: Universiti Sains Malaysia (USM) akan menganjurkan Karnival Bestari Sains dan Seni, inisiatif untuk menarik minat generasi muda khususnya kanak-kanak terhadap kedua-dua mata pelajaran itu yang mempunyai kaitan dengan kehidupan semasa.

Program yang mula diperkenalkan pada 2008 itu diadakan selama lima hari bermula 5 Mei ini di Muzium dan Galeri Tunku Fauziah (MGTF), USM dengan tema 'transDimensi'.

Pengarah MGTF, Hasnul Jamal Saidon berkata, karnival tahunan itu menawarkan banyak aktiviti menarik yang berbentuk seni dengan penggayaan saintifik serta warisan budaya.

"Karnival ini bertujuan menambahkan ilmu pengetahuan berhubung sains dan seni dalam kehidupan, selain sebagai hiburan ia juga pendekatan berbeza untuk menarik minat kanak-kanak terhadap sains dan seni," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pengunjung juga berpeluang bertemu dengan ikon Malaysia seperti kartunis Lat (Datuk Mohd Nor Khalid) dan angkasawan negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melawat pameran Dunia Yang Hilang, pameran kapak genggam tertua di dunia yang julung kali dipamerkan kepada umum, pertandingan deklamasi puisi dan bengkel seni.

Karnival bermula pada pukul 9 pagi hingga 11 malam dan masuk adalah percuma, untuk maklumat lanjut layari www.mgtf.usm.my atau untuk sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi 04-6532137 / 4789 / 3261 / 3294. - BERNAMA

Artikel Lain