suria

Festival Filem, Animasi di Unisel Lusa

SHAH ALAM: Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) Unisel akan menganjurkan festival filem dan animasi CINEMINI lusa di kampus Shah Alam bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Festival ini akan berlangsung sepanjang hari dengan pelbagai acara yang berkaitan filem dan animasi.

Program itu akan bermula dengan tayangan hasil karya filem dan animasi yang dihasilkan para pelajar Seni Reka Grafik dan Fotografi FSSR.

Hasil karya yang ditayangkan termasuk filem pendek, animasi, dokumentari, video muzik dan iklan TV.

Acara akan diteruskan lagi dengan sesi bual bicara yang menampilkan golongan professional dari industry filem dan juga wakil pihak akademik bagi membincangkan isu-isu berkaitan industri perfileman.

CINEMINI juga menampilkan persembahan oleh Rini Akademi Fantasia dan pendatang baru yang sedang menempa nama dalam genre hip hop, Bala Kashmir yang kedua-duanya terlibat dalam kolaborasi dengan para pelajar dalam pembikinan muzik video mereka.

Kamal Sabran dan Zulkifli Ramli dari “The Space Gambus Experiment” juga hadir untuk membuat persembahan.

Acara kemuncak adalah majlis penyampaian Anugerah Filem dan Animasi CINEMINI bagi memberi pengiktirafan kepada para pelajar yang terlibat dalam produksi penghasilan karya filem dan animasi untuk festival ini.

Sebanyak 13 anugerah bakal disampaikan oleh personaliti-personaliti dari industri filem antaranya Senator Tan Sri Dr. Jins Samsuddin, Datuk Siti Nurhaliza, kumpulan Hujan serta ramai lagi.

Antara anugerah yang dipertandingkan adalah Filem Terbaik, Animasi Terbaik, Dokumentari Terbaik, Iklan TV Terbaik dan Muzik Video Terbaik. Sebuah Anugerah Khas (Anugerah Penggerak Seni) bagi mengiktiraf individu yang telah memberi sumbangan terhadap industri filem juga bakal disampaikan.

Selain itu, pameran seni hasil karya pensyarah FSSR juga diadakan sempena Festival CINEMINI ini.

CINEMINI bukan sahaja merupakan landasan untuk mempamerkan hasil karya para pelajar untuk tayangan umum tetapi juga bagi mewujudkan perhubungan antara industri dan akademik bagi memajukan lagi industri kreatif tempatan.

Diharap dengan penganjuran Festival seperti ini, ia dapat memberi pendedahan dan pengalaman sekaligus memupuk sifat profesionalisme di kalangan para pelajar Unisel dalam menghasilkan karya filem, video dan animasi.

Artikel Berikut

Artikel Lain