suria

Kos Penuntut Asing Belajar Di M'sia Ikut Kadar Pasaran - Khaled

SHAH ALAM: Kos pengajian bagi penuntut asing melanjutkan pengajian peringkat sarjana di universiti awam ditentukan kadar pasaran dan mereka tidak menikmati subsidi kerajaan sebagaimana rakyat negara ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini.

"Penuntut asing yang melanjutkan pelajaran di sini akan dikenakan kos yuran pengajian dan dikenakan beberapa caj tambahan dan ini akan menjadi pendapatan kepada universiti berkenaan," kata Mohamed Khaled kepada pemberita selepas melancarkan "Inovasi DNA Bagi Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Komuniti Setempat" di UiTM di sini.

Katanya, kerajaan tidak mengenakan sebarang kuota terhadap penuntut asing bagi melanjutkan pengajian peringkat sarjana di institusi pengajian tinggi di negara ini.

Beliau berkata, adalah menjadi pendekatan kerajaan untuk membuka pengambilan kepada penuntut asing melanjutkan pengajian di peringkat sarjana sebagai sebahagian usaha mendapatkan pakar terbaik melakukan penyelidikan di negara ini.

"Adalah baik untuk mempunyai penuntut luar negara belajar di sini, sementelahan kita mahu menjadikan pendidikan satu komoditi dan kita mahu Malaysia menjadi pusat kecemerlangan pendidikan. Kemudahan untuk memperoleh pendidikan tinggi sangat penting," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata, sudah tiba masanya bagi universiti-universiti meningkatkan program pengajian keusahawanan kepada para siswazah untuk memberikan mereka lebih banyak pendedahan dan kemahiran menjadi usahawan.

Beliau menambah,pihak kementerian telah menubuhkan satu unit keusahawanan bagi membimbing siswazah dalam perniagaan dan keusahawanan dan satu Dasar Keusahawanan Sektor Pengajian Tinggi akan dilancarkan sedikit masa lagi.

Merujuk pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor yang ditetapkan pada 25 April ini, Menteri Pengajian itu menasihatkan para penuntut institusi pengajan tinggi awam agar tidak terbabit dalam sebarang kegiatan semasa kempen pilihan raya kecil itu kerana mereka terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

"AUKU tidak membenarkan mana-mana pelajar IPTA terbabit dengan kegiatan kempen politik. Tindakan tegas akan tetap dikenakan ke atas mereka yang terbabit," katanya.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada Parti Keadilan Rakyat pada 25 Mac lepas akibat kanser otak.

Artikel Berikut

Artikel Lain