suria

Cita-Cita Jadi Guru Nyaris Gagal, Dijangkiti Virus Tikus

BESUT: Seorang pelajar terpaksa menamatkan pengajian selepas tiga bulan menjejak kaki di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim akibat dijangkiti virus kencing tikus atau Letosferosis pada Oktober tahun lalu.

Akibatnya kedua belah kaki dan tangan kiri dari paras pergelangan tangan Wan Aini Wan Ibrahim, 21, terpaksa dipotong.

Kini selepas setengah tahun berlalu, semangat beliau untuk menjadi pendidik tidak pernah padam, beliau terus memohon dan akhirnya kejayaan berada di ambang mata.

"Saya bersyukur kerana telah mendapat tawaran baru daripada UPSI untuk kembali meneruskan pelajaran 4 Julai ini," katanya ketika ditemui di Kampung La, Hulu Besut hari ini.

Anak penoreh getah itu berkata beliau akan mengikuti kelas dengan menggunakan sepasang kaki palsu yang bakal dihadiahkan oleh Badan Kebajikan Hospital Raja Perempuan Zainab 11 Kota Baharu, Kelantan.

Mengimbas bermulanya kejadian tersebut, Wan Aini berkata beliau secara tiba-tiba diserang demam panas yang serius dan apabila keadaannya berlarutan UPSI telah menghantarnya ke Hospital Daerah Slim River, Perak untuk mendapat rawatan.

Namun keadaannya bertambah serius hingga menyebabkan beliau tidak sedarkan diri selama 17 hari.

Pada mulanya pihak hospital mengandaikan beliau menghidap demam denggi berdarah.

"Bimbang dengan keadaan saya yang masih tidak sedarkan diri, ibu bapa saya memohon supaya saya mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab.

"Tetapi keadaan saya tetap serius dan akhirnya doktor pakar yang merawat saya mengesahkan saya telah diserang sejenis kuman daripada virus kencing tikus hingga menyebabkan sel anggota kaki dan tangan saya mati," katanya.

Tiada jalan lain bagi menyelamatkan Wan Aini kecuali kedua-dua anggota kaki dan tangan kirinya terpaksa dipotong bagi mengelak penyakit daripada terus merebak ke seluruh badan.

Setelah sembuh, beliau memohon kembali untuk memenuhi impiannya menjadi guru. - BERNAMA

Artikel Lain