suria

UTHM Tubuh Briged Pembinaan

JOHOR BAHARU: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat menubuhkan pasukan pembinaan atau "Construction Brigade" yang bertujuan memberi pengalaman kepada pelajarnya dalam kerja-kerja pembinaan.

Briged berkenaan akan dikelolakan oleh Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar UTHM.

"Construction Brigade yang berkonsepkan sukarelawan ditubuhkan untuk meningkatkan peluang kebolehkerjaan graduan berdasarkan pengalaman yang diperolehi, disamping memberi pengalaman teknikal berkaitan aktiviti pembinaan kepada pelajar," menurut UTHM dalam satu kenyataan.

Aktiviti yang dijalankan berupa khidmat masyarakat dengan membina atau membaik pulih struktur yang musnah akibat bencana alam.

UTHM merupakan institusi pengajian tinggi tempatan pertama yang menubuhkan briged seumpama itu di mana Construction Brigade dikatakan mula diperkenalkan oleh Jabatan Fizik Universiti Moscow pada 1958.

Menurut UTHM, seramai 250 pelajar telah mendaftar untuk menyertai pasukan berkenaan.

"Para pelajar akan diberi pengalaman dan latihan praktikal semasa cuti semester, berhubung kerja-kerja asas pembinaan merangkumi antaranya membaik pulih kediaman, jalan raya, jambatan dan sistem perparitan.

"Mereka juga akan diberi peluang untuk melawat projek mega mahupun kerja pemulihan struktur binaan kesan dari bencana alam di luar negara," kata UTHM. - BERNAMA

Artikel Lain