suria

UTHM Tubuhkan Construction Brigade Pertama Di Malaysia

BATU PAHAT: Sebagai sebuah universiti teknikal yang berteraskan kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sentiasa berusaha memastikan para graduan yang dilahirkan sentiasa kompeten, berdaya saing dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi dalam dunia kerjaya.

Selaras dengan itu, pelbagai usaha dilakukan untuk nilai tambah dengan hands-on atau latihan amali kepada para pelajar yang merentasi ilmu serta maklumat yang diperolehi dari dalam bilik kuliah.

Salah satu usaha yang dilaksanakan oleh pihak universiti adalah memperkenal dan menubuhkan Construction Brigade melalui Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS) yang pertama seumpamanya di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia.

Menurut catatan sejarah, Construction Brigade ini mula diperkenalkan oleh para mahasiswa dari Jabatan Fizik di Universiti Moscow pada tahun 1958.

Construction Briged yang berkonsepkan sukarelawan itu ditubuhkan bertujuan untuk meningkatkan peluang kebolehkerjaan para graduan yang terlibat berdasarkan pengalaman yang diperolahi di samping memberi pengalaman teknikal berkaitan aktiviti-aktiviti pembinaan kepada pelajar sebagai nilai tambah.

Selain itu, ianya juga sebagai aktiviti khidmat masyarakat dalam membantu dan menyelesaikan mangsa-mangsa bencana alam (pembinaan semula atau membaik pulih struktur).

Setakat ini, seramai kira-kira 250 pelajar dari FKAAS telah mendaftarkan diri menyertai Construction Brigade yang dilihat mampu membentuk jati diri dalam kalangan pelajar untuk meningkatkan keyakinan diri melalui pengalaman pengalaman mereka.

Ahli-ahli Construction Brigade akan diberikan pengalaman dan latihan secara praktikal berkenaan kerja-kerja asas pembinaan semasa cuti semester.

Ia merangkumi pembinaan dan baik pulih rumah kediaman, jalan raya, jambatan, sistem perparitan dan isu-isu yang melibatkan alam sekitar.

Mereka juga akan diberi peluang untuk melawat projek-projek mega mahupun kerja-kerja pemulihan struktur binaan kesan bencana alam di luar negara.

Pelancaran Construction Briged akan disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM merangkap Pengerusi Construction Industry Development Board (CIDB) Malaysia, Tan Sri Dato' Ir. Jamilus b. Md. Hussin yang dijangka akan diadakan pada 18 Mac 2010 di Wisma KLIA Holdings, Bangi, Selangor.

Setelah selesai upacara pelancaran, semua ahli Construction Brigade akan dibawa melawat KLIA dan tapak pembinaan tambahan Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) di Sepang, Selangor. - UTHM

Artikel Berikut

Artikel Lain