suria

FPAM Jalin Hubungan Dengan UPM

SERDANG: Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) akan bergabung dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk memasukkan kursus Sijil Perancangan Kewangan (CFP) dalam program Ijazah Pengajian Pengguna.

Presiden FPAM Wong Boon Choy berkata langkah itu akan menggalakkan perkongsian maklumat, sumber pembelajaran dan aktiviti lain bagi pelajar dalam bidang perancangan kewangan.

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani di sini hari ini oleh kedua-dua pihak untuk melaksanakan program itu.

Wong berkata kerjasama itu akan memberi peluang kepada Fakulti Ekologi Manusia, yang menawarkan program ijazah, untuk kerjasama dengan industri perkhidmatan kewangan dan menggalakkan penyertaan dalam pelbagai program pengajaran yang berkaitan.

"Dalam kerjasama ini, UPM memberi pelajarnya satu peluang yang jarang ada, untuk melengkapkan diri dengan kelayakan profesional yang akan lebih menyediakan mereka untuk menceburi industri perkhidmatan kewangan dan menawarkan peluang kerjaya yang lebih baik," kata Wong.

Sektor kewangan juga dijangka memainkan peranan dalam memudahkan dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi sambil Malaysia mengorak langkah mencapai status negara maju menjelang 2020, katanya.

Sijil CFP walaupun diperkenalkan di Malaysia sejak 10 tahun lepas, telah mendapat banyak pengiktirafan dalam industri perkhidmatan kewangan, katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu.

Turut hadir ialah Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah.

Di Malaysia, kelayakan CFP diiktirafkan oleh kedua-dua Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara sebagai satu syarat untuk pemohonan lesen Perkhidmatan Modal Perniagaan dan lesen Penasihat Kewangan.

Pengiktirafan oleh badan perundangan tempatan memperkukuhkan lagi pengesahan persijilan CFP mencapai piawaian yang diperlukan sebagai perancang kewangan profesional, kata Wong.

Di peringkat antarabangsa, program CFP dimuatkan dalam Newsweek sebagai kelayakan yang perlu dimiliki oleh seorang perancang kewangan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain