suria

PJH kibar sayap di luar Putrajaya

Bangunan kampus Heriot-Watt University Malaysia di Putrajaya.

RAMAI yang mengenali Putrajaya sebagai sebuah bandar pentadbiran kerajaan yang terdiri daripada bangunan-bangunan indah dengan panorama penuh kehijauan.

Namun, bandar yang banyak memenangi anugerah itu bukanlah dibina eksklusif untuk pentadbiran kerajaan semata-mata.

Sebaliknya, Putrajaya berhasrat menjadi sebuah bandar yang berkembang maju serta mempunyai penduduk dari pelbagai latar belakang budaya dan kerjaya.

Dari tahun-tahun sebelum ini pemaju Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJH) telah menggunakan kaedah pemasaran strategik menerusi aktiviti dan papan iklan lebuh raya untuk mempromosikan bandar itu sebagai lokasi yang baik untuk tempat tinggal, bekerja dan membina empayar perniagaan.

Untuk terus meningkatkan kualiti hidup dan menarik perhatian orang ramai, PJH pada Disember lalu telah melancarkan Kempen Oksigenasi dengan slogan 'Breathing Life Into Nation'.

Dipacu oleh lima elemen penting, kempen ini juga dilaksana untuk menguar-uarkan kemampuan dan pembangunan syarikat itu dalam usaha mewujudkan persekitaran yang lebih menarik.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah PJH, Datuk Azlan Abdul Karim berkata, kempen itu bermula dengan idea bahawa pembangunan hartanah bukan sekadar mengenai penampilan, tetapi ia juga tentang pemaju yang menghidupkan kehidupan di rumah, komuniti dan persekitaran.

"Ia adalah cara yang berkesan dan akan meningkatkan daya ingat jenama PJH kepada khalayak. Potensi PJH akan berkurang jika fokus kepada idea 'hijau' sahaja kerana kita membina jauh di luar idea itu.

"Oksigenasi atau pengoksidaan akan menyokong kapasiti serta keupayaan syarikat yang membawa kegembiraan dan keyakinan untuk melampaui sempadan Putrajaya," ujar Azlan.

Tambahnya, kepercayaan dan keyakinan terhadap jenama PJH dalam industri juga akan meningkat menerusi cara tersebut.

Lima elemen yang akan menjadi panduan untuk perkembangan PJH masa depan pula ialah Idea, Kehidupan, Bertenaga, Komuniti dan Persekitaran.

IDEA adalah penyelesaian baharu yang berpandangan ke hadapan, meneroka kaedah dan teknik pembangunan novel.

KEHIDUPAN adalah tentang membina rumah yang mempunyai maksud berbeza, asli dan serba boleh.

BERTENAGA adalah mewujudkan peluang dan sinergi baharu dalam perdagangan dan runcit.

KOMUNITI ialah membawa makna dan tujuan melalui pengalaman yang baik kepada rakyat.

PERSEKITARAN adalah komitmen berterusan PJH untuk cara kehidupan hijau yang mampan.

Untuk memasarkan bandar dengan penjenamaan baharu, PJH membuat iklan di sepanjang Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Bercakap tentang elemen kehijauan, PJH berusaha untuk bukan sahaja membina sebuah bandar, tetapi mahu mengubah Putrajaya dari bandar dalam taman ke bandar hijau seterusnya menjadikan ia lokasi ideal untuk kehidupan di negara ini.

Untuk merealisasikan matlamat itu, PJH komited meningkatkan kualiti persekitaran hidup dengan mengurangkan pelepasan karbon, menggalakkan perniagaan hijau dan mempromosikan gaya hidup hijau dalam aktiviti dan perkembangan bandarnya.

Pada Persidangan ke-15 Parti-parti (sebahagian daripada Persidangan Perubahan Iklim PBB 2009) di Copenhagen, Malaysia membuat komitmen bersyarat untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon sehingga 40 paratus pada tahun 2020, berdasarkan produk domestik kasar negara.

Atas usaha-usaha yang dilaksanakan, PJH telah memenangi pelbagai anugerah berprestij seperti Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia 2017.

PJH turut menerima beberapa sijil platinum, emas dan perak GBI selama bertahun-tahun untuk setiap segmen pembangunannya.

Pada Mei lalu, PJH merupakan naib johan dalam kategori 1: Kepimpinan Perniagaan dalam Kemampanan di Anugerah Gabungan Bangunan Hijau Malaysia 2018 di Shah Alam.

Pada majlis itu, PJH turut memenangi Kategori 2: Kepimpinan dalam Reka Bentuk dan Prestasi Berkelanjutan untuk bangunan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan juara untuk bangunan kampus Universiti Heriot-Watt Malaysia.

Selain itu, PJH turut merangkul Anugerah Eropah untuk Amalan Terbaik 2018.

Anugerah itu dianjurkan oleh Persatuan Penyelidikan Kualiti Eropah di Brussels, Belgium.

"Memenangi anugerah ini merupakan pencapaian dan penghormatan yang luar biasa kerana ia juga berfungsi sebagai pengiktirafan terhadap kualiti kerja kolaboratif dan luar biasa oleh keluarga PJH. Tanpa sokongan dan sumbangan mereka, mustahil untuk mencapai semua ini.

"Saya harap anugerah ini akan memberi motivasi untuk kakitangan PJH terus bekerja keras dan menyediakan perkhidmatan serta produk berkualiti para pemegang saham dan orang ramai," ujar Azlan.

PJH, Putrajaya, Azlan Abdul Karim

Artikel Sebelum

Artikel Lain