SEORANG ibu muda berdepan tuduhan jenayah selepas didakwa meninggalkan dua anak kecilnya di dalam kereta ketika cuaca panas terik, sehingga menyebabkan kematian anak bongsunya yang berusia setahun.
Wanita berusia 20 tahun itu didakwa atas kesalahan secara tidak sengaja, serta dua pertuduhan penderaan kanak-kanak secara sengaja selepas anak lelakinya yang berusia setahun meninggal dunia dan anak sulung berusia dua tahun dimasukkan ke hospital.
Kejadian berlaku pada 29 Jun lalu di Bakersfield, California di Amerika Syarikat.
Menurut rekod mahkamah dan laporan polis yang diperoleh, wanita bernama Maya Hernandez itu dipercayai meninggalkan anak-anaknya lebih dua jam di dalam kereta untuk menjalani prosedur suntikan kosmetik bibir di sebuah spa.
Suhu di luar ketika itu mencecah 38 darjah celsius dan berdasarkan laporan, suhu dalam kenderaan boleh meningkat sehingga 61 darjah celsius.
Hernandez memberitahu pihak polis bahawa dia meninggalkan Toyota Corolla 2022 miliknya dalam keadaan enjin dan pendingin hawa masih hidup.
Dia juga meninggalkan anak-anaknya bersama gula-gula, biskut, susu dan telefon bimbit untuk tontonan.
Wanita itu turut mengaku pernah bertanya kepada jururawat spa sama ada boleh membawa anak-anak ke dalam, dan dimaklumkan bahawa mereka boleh menunggu di ruang menunggu.
Namun, Hernandez memilih untuk meninggalkan mereka di dalam kereta.
Dalam keterangannya, Hernandez berkata dia yakin enjin keretanya akan terus hidup kerana dia sendiri pernah duduk lama di bahagian dalam kenderaan sama sebelum ini.
Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati model Toyota tersebut akan dimatikan enjinnya secara automatik selepas satu jam jika ia tidak digerakkan.
Lebih memburukkan keadaan, Hernandez tidak langsung memeriksa keadaan anak-anaknya antara pukul 2 petang hingga 4.30 petang.
Apabila dia kembali ke kereta, salah seorang anaknya sudah mengalami sawan dan mengeluarkan buih di mulut.
Dia cuba memberi bantuan pernafasan dan menghubungi 911.
Kanak-kanak berusia satu tahun itu dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia sekitar pukul 6 petang, dengan suhu dalaman badan mencecah 41.6 darjah celsius.
Anak yang lebih tua pula mengalami suhu badan 37.2 darjah celsius, tetapi masih boleh makan dan minum.
Menurut jururawat, kanak-kanak berusia lebih dua tahun lebih berupaya mengawal suhu badan kerana sudah boleh berpeluh.
Kanak-kanak itu kini berada dalam keadaan stabil dan ditempatkan di bawah jagaan perlindungan, menurut kenyataan polis.
Hernandez mengaku tidak bersalah dan kini ditahan dengan jaminan sebanyak AS$1 juta (RM4.7 juta).
Tiada peguam disenaraikan dalam rekod mahkamah untuk mewakilinya setakat ini.-Agensi


