suria

Bintang Liverpool Diogo Jota maut kemalangan, kereta terbabas dan terbakar

Diogo Jota maut dalam kemalangan.

PENYERANG Liverpool dari Portugal, Diogo Jota, 28, maut dalam kemalangan kereta berhampiran Zamora di barat laut Sepanyol bersama adiknya, kata Persekutuan Bola Sepak Portugis pada Khamis.

"Kami telah kehilangan dua juara. Kematian mereka satu kehilangan besar buat pasukan bola sepak Portugal.

"Kami akan lakukan sebaik mungkin untuk terus menghargai legasi mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu kemalangan itu dimaklumkan Jabatan bomba wilayah Castile dan Leon menerusi laman sesawangnya susulan sebuah kereta terbabas dan terbakar, dengan dua lelaki berusia 28 dan 26 tahun ditemukan meninggal dunia.

Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke unit forensik di Zamora berdekatan dan bedah siasat akan dilakukan.

Untuk rekod, Jota yang berkahwin pada 28 Jun, membantu Liverpool memenangi Liga Perdana musim lalu dan turut memenangi Piala FA dan Piala Liga dengan pasukan Merseyside.

Jota tiba di Anfield dari Wolverhampton Wanderers pada 2020 dan menjaringkan 65 gol dalam 182 penampilan untuk kelab itu dalam semua pertandingan.

Dia juga membuat 49 penampilan untuk Portugal, dua kali memenangi Liga Negara-Negara UEFA. -Agensi

Artikel Lain