BEKAS penjaga gol Pulau Pinang, Firos Mohamed disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru ‘Legend All Star’ di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak pada Sabtu malam.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan, Allahyarham berusia 53 tahun menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Pakar KPJ Seri Manjung pada pukul 10.23 malam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya pada Ahad.
Terdahulu, beberapa video tular di media sosial [Tonton Video] memaparkan Firos rebah ketika beraksi menentang pasukan legenda dari Kedah.
Kejohanan tersebut menghimpunkan barisan legenda bola sepak dari empat negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Perlis dan Kedah.
Firos Mohamed dikenali sebagai antara penjaga gol terbaik Pulau Pinang dan skuad kebangsaan pada era 1990-an.
Jenazah Allahyarham Firos dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ridwaniah, Sungai Batu, Teluk Kumbar, Pulau Pinang selepas solat Zuhur.