SEORANG penumpang yang terkena jarum tertinggal semasa penerbangan kini menuntut 130,000 yuan (RM79,340) sebagai ganti rugi kerana kemurungan yang disebabkan oleh ketakutannya terhadap jangkitan.
Lelaki yang dikenali sebagai Fu itu terkena jarum suntikan semasa mengambil telefonnya dari poket tempat duduk dalam penerbangan.
Kejadian dipercayai berlaku di China.
Memetik laporan media, Jimu News, Fu mengimbas kembali rasa sakit tajam di jarinya dan mendapati tertusuk jarum, yang disyaki dari jarum suntikan insulin.
Pramugari kemudian mendisinfeksi jarinya dan melaporkan kejadian itu kepada syarikat penerbangan berkenaan.
Ia kemudian disahkan bahawa jarum itu tertinggal oleh seorang penumpang yang menaiki penerbangan sebelumnya.
Setelah mendarat, syarikat penerbangan tersebut menawarkan Fu sebanyak AS$250 (RM1,800) untuk tiketnya dan tambahan 1,000 yuan (RM610) sebagai pampasan untuk kejadian tersebut.
Bagaimanapun, menolak tawaran itu kerana menyifatkannya tidak mencukupi.
Fu kemudian membayar untuk beberapa lawatan ke hospital bagi menjalani ujian penyakit berjangkit, dengan alasan mengalami insomnia disebabkan kebimbangan yang berlebihan.
"Doktor memberitahu saya bahawa jangkitan mempunyai tempoh laten, jadi saya perlu menjalani beberapa pemeriksaan dalam tempoh enam bulan akan datang," katanya.
Setakat ini, keputusan ujian Fu menunjukkan tiada tanda-tanda penyakit berkaitan.
Fu berkata, dia sudah berkali-kali meminta syarikat penerbangan itu untuk menyiasat keadaan kesihatan penumpang yang meninggalkan jarum itu, tetapi syarikat penerbangan tersebut menolak dengan alasan menjaga privasi.
Dia kemudiannya mengemukakan saman, menuntut lebih 130,000 yuan (RM79,340) sebagai pampasan untuk kos perubatan, gaji yang hilang, dan kesulitan emosi.
Syarikat penerbangan itu membuat permohonan maaf susulan kejadian itu, malah dilaporkan akan menanggung kos perubatan dan rawatan psikologi Fu. -Agensi


