DEMI mendapatkan penginapan percuma dan wang pampasan, seorang pelajar lelaki bertindak mengugut pengurusan hotel dengan meletakkan lipas mati serta kondom terpakai di dalam bilik yang dihuni. Memetik laporan South China Morning Post, lelaki berusia 21 tahun yang dikenali sebagai Jiang pada awalnya menggunakan wang perbelanjaan universitinya untuk mendaftar masuk ke hotel. Selepas mendapati duit simpanannya semakin berkurangan, dia mula menggunakan tipu helah berkaitan kebersihan hotel bagi mengelak bayaran kos penginapan. Bukan itu sahaja, dia turut menuntut pampasan wang tunai daripada pihak hotel berkenaan. Malah sejak melakukan taktik itu pada September tahun lalu, Jiang berjaya memeras ugut 63 buah hotel. Kegiatannya itu bagaimanapun terbongkar pada 8 Ogos lalu, selepas pengurus salah sebuah hotel membuat laporan polis kerana diminta membayar 400 yuan atau kira-kira RM245. Menurut pegawai polis yang menyiasat kes itu, Jiang didapati kerap menginap di hotel dan kadang kala mendaftar masuk lebih tiga hotel dalam sehari. “Dia akan mengeksploitasi kelemahan kecil atau meletakkan serangga, pepijat mahupun rambut untuk mengugut hotel dengan aduan atau pendedahan dalam talian seterusnya menuntut penginapan percuma atau pampasan,” jelasnya. Tambahnya, hasil siasatan bersama beberapa hotel lain, pihak polis mendapati Jiang melakukan modus operandi yang sama. Hasil pemeriksaan menyeluruh ke atas barang-barangnya menemui 23 paket barang yang digunakannya untuk melakukan penipuan, termasuk lipas mati dan kondom kotor. Malah, dia juga didapati telah menginap di lebih 380 hotel dengan kebanyakannya menunjukkan transaksi kewangan yang mencurigakan yang dilabelkan sebagai bayaran balik atau pampasan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube