SEORANG remaja lelaki berusia 14 tahun ditahan pada tengah hari Sabtu, selepas dipercayai membunuh ayah dan neneknya menggunakan senjata tajam. Kedua-dua mangsa yang berusia 40 dan 69 tahun ditemukan maut di lantai rumah akibat tikaman objek yang dipercayai pisau dapur. Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, suspek turut mencederakan ibunya sehingga mengakibatkan mangsa berusia 40 tahun kritikal dan kini dirawat di hospital. Susulan kejadian itu, suspek sempat melarikan diri sejauh 500 meter sebelum ditangkap penduduk setempat yang melihatnya mencampakkan pisau berlumuran darah di laluan perumahan. Kejadian dilaporkan berlaku di kawasan perumahan Lebak Bulus, Jakarta, Indonesia. Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Jakarta Selatan, AKBP Gogo Galesung, berdasarkan siasatan awal, suspek mengakui mendengar 'bisikan’ sebelum bertindak di luar kawalan. Malah suspek juga mengakui sukar tidur disebabkan terdapat ‘suara halus’ yang mengganggunya. Mengulas lanjut, Gogo turut memaklumkan hasil ujian air kencing mendapati suspek bebas daripada pengambilan dadah mahupun ubat-ubatan. - Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube