suria

Budak lelaki alami sawan, meninggal dunia selepas disuntik ubat penenang.... Keluarga dakwa jururawat cuai

Suntikan berkenaan didakwa ubat penenang. -Gambar hiasan

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dari Cianjur, Jawa, Indonesia meninggal dunia selepas diberi suntikan akibat mengalami demam panas.

Kejadian bermula apabila mangsa dibawa oleh ibu bapanya ke Pusat Kesihatan Komuniti Sindangbarang pada 21 April lalu untuk mendapatkan rawatan.

Menurut laporan media tempatan, ketika menerima rawatan, demam panas yang dialaminya beransur reda.

Mangsa kemudian diberi suntikan antibiotik namun secara tiba-tiba diserang sawan.

Jururawat datang dan segera memberikan suntikan kedua dipercayai ubat penenang, di mana ketika itu sawannya juga berhenti.

Mangsa kemudian disuntik sekali lagi untuk kali ketiga, menyebabkan tubuhnya terus tidak memberikan tindak balas.

Mangsa dilaporkan koma sehingga terpaksa diberi oksigen tambahan, namun tidak lama kemudian disahkan meninggal dunia.

"Suntikan kedua dikatakan ubat penenang, apabila sawan berhenti, anak saya disuntik semula untuk kali ketiga dan tiada respon.

"Dia kemudian koma dan tidak lama kemudian diisytiharkan mati," kata ibu mangsa, Syarifahlawati, 43.

Ujar Syarifahlawati, pihaknya kecewa dengan pusat kesihatan berkenaan dan mendakwa petugas perubatan mereka cuai ketika memberikan rawatan.

Keluarga mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cianjur.

Difahamkan, Perkhidmatan Kesihatan Daerah Cianjur mengarahkan Pusat Kesihatan Komuniti Sindangbarang memberi penjelasan lengkap berhubung kes berkenaan. -Serambinews

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain