suria

Panjang perjalanan! Surat dikirim 27 tahun lalu akhirnya tiba di peti pos penerima

Seorang lelaki terkejut menerima surat yang dikirim pada 1995.-foto John Rainbow

SEPUCUK surat mencatat sejarah apabila tiba ke destinasinya selepas melalui perjalanan panjang selama 27 tahun.

Pada 13 Januari, John Rainbow, 60, melihat sepucuk surat dalam peti posnya, lapor akhbar Hexham Courant.

Apa yang pelik tentang surat itu adalah, ia dihantar ketika zaman panggilan telefon atau surat menjadi satu-satunya cara komunikasi utama.

Kalau ada pun, hanya terdapat sebilangan kecil pengguna internet pada masa itu, iaitu pada tahun 1995.

Rainbow kemudian menyedari bahawa surat berusia 27 tahun itu itu tidak dikirim kepadanya tetapi dihantar kepada penghuni terakhir rumah itu.

Menurut tulisan pada surat tersebut, ia dipos pada Ogos 1995 dari Bridgewater, Somerset, England.

"Kami buka surat itu, melihatnya dan berfikir ia agak pelik... kemudian kami tengok tarikh pada surat itu iaitu 3 Ogos 1995 dan tak faham kenapa tiba-tiba sekarang baru sampai.

"Di bahagian belakang ada cop setem Alnwick 1995," kata Rainbow.

Mengejutkan kata Rainbow, surat itu berada dalam keadaan sempurna.

Selepas membuka dan 'menyelidik' surat itu, dia mendapati ia dikirim kepada sebuah keluarga yang dikenali pada era 1880-an.

Ia mempunyai beberapa maklumat tentang anak-anak penulis.

Rainbow mendedahkan bahawa dia tidak mempunyai kaitan dengan penduduk terdahulu. Dia berpindah ke rumah itu pada 2015, menyukarkannya untuk mengesan pemilik surat tersebut.

Selepas membuat 'siasatan' mereka mendapati wanita yang sepatutnya menerima surat itu, Valerie Jarvis-Read tinggal di hartanah itu sehingga 2010.

Seorang jirannya berkongsi maklumat dan mendedahkan bahawa Valerie adalah seorang pelayar dan suaminya merupakan anggota pasukan di Le Mans.

Rainbow bagaimanapun percaya bahawa penerima surat itu telah meninggal dunia.

"Alangkah baiknya jika mengetahui penghantar surat itu mempunyai saudara mara dan mereka tahu surat itu akhirnya sampai ke destinasi," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

kiriman surat, peti pos, surat lama

Artikel Lain