suria

22 tahun 'turun naik' mahkamah! Peguam akhirnya dapat pampasan, faedah 12 peratus

Pekerja melambaikan bendera semasa majlis di Chennai baru-baru ini. - Gambar hiasan (Foto AFP)

SEORANG peguam dari Mathura India berjaya mendapatkan pampasan sebanyak 15,000 rupee (RM837.22) daripada Indian Railways selepas 22 tahun 'bertarung' di mahkamah.

Warga emas berusia 66 tahun itu turut menyifatkan usahanya untuk mendapatkan keadilan kerana dikenakan bayaran berlebihan sebanyak 20 rupee (RM1.12) semasa menggunakan perkhidmatan tersebut sebagai berbaloi.

Mahkamah memerintahkan Tungnath Chaturvedi menerima bayaran balik sebanyak 20 rupee yang ditambah faedah 12 peratus setahun daripada pihak Indian Railways.

Ia menjadikan keseluruhan pampasan yang diterima adalah sebanyak 15,000 rupee.

Semasa kejadian, Chaturvedi membeli dua tiket dari kampung halamannya di Mathura ke Moradabad pada 1999 dan dikenakan bayaran 90 rupee (RM5.02) berbanding harga asal tambang yang bernilai 70 rupee (RM3.91).

Meskipun kedua-dua bandar itu berjarak kurang 300 kilometer, tetapi 'perjalanannya' ke muka pengadilan memerlukan 120 perbicaraan di mahkamah pengguna Mathura selain perlu berhadapan lima hakim berbeza selama lebih dua dekad sebelum berjaya mendapat pampasan bulan ini.

Ekoran itu, kes tersebut dilihat mencerminkan sistem kehakiman India yang lembap kerana kes boleh berlangsung selama bertahun-tahun.

Difahamkan, mahkamah tersebut juga mempunyai tunggakan sekitar 50 juta kes. - Bangkok Post

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain