suria

Jenazah Rayan selamat dikebumikan berhampiran kampung halamannya

Jenazah Rayan dibawa ke tanah perkuburan Douar Zaouia berhampiran kampungnya. Foto: AP.

RATUSAN rakyat Maghribi menghadiri pengebumian Rayan Awram, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang meninggal dunia akibat terperangkap di dalam perigi selama lima hari.

Kanak-kanak lelaki itu terjatuh ke dalam perigi kering sempit sepanjang 32 meter pada Selasa lalu, mencetuskan operasi menyelamat yang kompleks disebabkan kedudukannya yang berada jauh di dalam tanah.

ARTIKEL BERKAITAN: Seluruh dunia kirim doa, rakyat Malaysia tumpang sedih atas pemergian kanak-kanak Maghribi- “Berehatlah adik Rayan di syurga”

Orang ramai telah membanjiri media sosial dengan mesej simpati dan doa agar dia dibawa keluar hidup-hidup, tetapi harapan mereka musnah.

Pada Isnin, jenazah telah dibawa ke tanah perkuburan Douar Zaouia berhampiran kampungnya, di mana ratusan orang menghadiri pengebumiannya, kata wartawan AFP.

Keranda yang membawa jenazah kanak-kanak itu turut dilitupi dengan kain berwarna hijau.

Imbas bapa Rayan, Khaled Aourram berkata, dia sedang membaiki perigi apabila anaknya terjatuh, berhampiran dengan rumah keluarga.

Ahad lalu, Istana Diraja Maghribi mengesahkan bahawa kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia.

Raja Maghribi, Raja Mohammed VI membuat panggilan telefon kepada ibu bapa Rayan, Khaled Awram dan Wassima Khersheesh, untuk mengucapkan takziah kepada keluarga atas kematian tragis kanak-kanak tersebut, kata pihak istana dalam satu kenyataan.

Raja Mohammed juga menzahirkan penghargaannya atas usaha gigih yang dilakukan oleh pasukan penyelamat sejak Selasa lalu. - Gulf Today.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain