suria

Tak percaya Covid-19, ahli teori konspirasi maut selepas anjurkan dua majlis di rumahnya

Gaarder (gambar kecil) dilaporkan meninggal dunia pada 6 April lalu selepas ujian yang dijalankan mengesahkan dia dijangkiti virus tersebut. Foto: Facebook/YouTube

SEORANG lelaki yang tidak mempercayai kewujudan Covid-19, maut akibat dijangkiti virus tersebut selepas menganjurkan dua pertemuan di rumahnya di Norway.

Hans Kristian Gaarder dilaporkan meninggal dunia pada 6 April lalu selepas ujian yang dijalankan mengesahkan dia dijangkiti virus tersebut.

Gaarder, 60, yang juga seorang ahli teori kospirasi menganjurkan dua pertemuan di rumahnya pada 26 dan 27 Mac, lapor media tempatan.

Untuk rekod, kerajaan negara tersebut melarang sebarang bentuk perhimpunan atau majlis pertemuan dalam usaha membendung penularan virus Covid-19 sejak 16 Mac.

Dilaporkan, beberapa tetamu yang menghadiri pertemuan di kediaman Gaarder turut dijangkiti virus tersebut.

Pihak polis kini sedang mengesan jumlah sebenar tetamu yang menghadiri pertemuan berkenaan.

Pihak berkuasa tempatan percaya Gaarder jatuh sakit sejak beberapa minggu lalu namun merahsiakannya daripada pengetahuan orang lain.

Gaarder merupakan ahli teori konspirasi berprofil tinggi, sering muncul di televisyen dan penyunting majalah dalam talian.

Dia sering menyamakan Covid-19 dengan selesema dan berkongsi sejumlah catatan di Facebook yang ditandai sebagai mengandungi 'maklumat palsu'. - Metro.co.uk

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain