Gara-gara pakai syampu untuk singkirkan kutu, gadis alami luka terbakar tahap tiga selepas rambut disambar api

Wajah Aleema sebelum dan selepas insiden ngeri tersebut. Foto: Jam Press

SEORANG gadis tidak menyangka berdepan dengan insiden ngeri seumur hidup gara-gara tindakannya memakai syampu untuk menyingkirkan kutu.

Segala-galanya bermula apabila Aleema Ali, 12, pulang dari sekolah asrama sempena cuti Krismas, empat tahun lalu.

Ketika itu dia berdepan dengan masalah kutu, lantas gadis kecil tersebut memakai syampu khas ubat untuk menyingkirkannya.

Sementara menunggu syampu itu 'sebati' beberapa minit seperti yang disyorkan, Aleema pergi ke dapur untuk membuang sampah, di mana ketika itu ibunya sedang memasak.

Ketika berjalan melintasi dapur memasak, tanpa disangka api menyambar rambut Aleema kerana bahan syampu yang dipakainya bersifat mudah terbakar.

Aleema dikejarkan ke hospital dan dirawat di unit rawatan intensif di mana dia terpaksa diletakkan dalam keadaan koma selama dua bulan.

Aleema mengalami luka terbakar tahap ketiga pada 55 peratus badannya termasuk wajah, kepala, lengan, dada, paha, perut, belakang dan tangan, selain kehilangan tujuh jari.

Dia telah menjalani banyak pembedahan cantuman kulit dan terpaksa memakai pakaian khusus untuk membantu proses penyembuhan kulitnya.

Empat tahun sudah berlalu, Aleema, yang berasal dari West Yorkshire, perlahan-lahan bangkit kembali dan dia kini melanjutkan pelajaran ke peringkat A Level di kolej. - Metro.co.uk

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Kerja rumah sebenarnya tugas siapa?