suria

Siapa calon pengganti Kim Jong-un? Identiti anak masih misteri, adik paling menyerlah dalam politik pula wanita

Kim Jong-un dan Ri Sol Ju dikatakan mempunyai tiga cahaya mata yang sehingga kini identiti mereka dirahsiakan.

SEHINGGA kini status Kim Jong-un kekal misteri hingga menimbulkan pelbagai spekulasi di seluruh dunia.

Pelbagai pandangan diketengahkan terutama apa yang akan berlaku jika pemimpin Korea Utara itu benar-benar meninggal dunia.

Tentu sekali akan ada lantikan pengganti beliau sama ada dalam kalangan ahli keluarga atau figura di luar lingkaran familinya.

Berikut adalah antara pesaing atau calon-calon yang disenaraikan untuk meneruskan kepimpinan negara itu.

Keluarga

- Jong-un mempunyai tiga anak, bagaimanapun jantina anak kedua sahaja diketahui iaitu seorang perempuan, Kim Ju-ae yang dikatakan lahir pada 2013. tetapi mereka masih terlalu muda untuk memikul tugas dan tanggungjawab berat itu.

Bagaimanapun, anak pertama diyakini adalah lelaki yang lahir setahun selepas Jong-un mengahwini Ri Sol Ju pada 2009, manakala anak bongsu dilaporkan lahir pada Februari 2017 tetapi tidak diketahui jantinanya.

Seperti didedahkan sahabat karibnya, bekas pemain bola keranjang Amerika Syarikat, Dennis Rodman yang mengakui pernah mendukung anak Jong-un.

Realitinya anak-anak Jong-un masih terlalu muda dengan yang sulung baru berusia 10 tahun dan tentunya sukar untuk memikul tugas dan tanggungjawab untuk memimpin republik itu.

- Adiknya, Kim Yo Jong adalah antara penasihat yang akrab dengannya, selain berperanan sebagai wakil negara untuk Olimpik Musim Sejuk di selatan negara itu, selain mengiringi Jong-un ke majlis diplomatik dan baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan politik.



Korea Utara tidak pernah mempunyai pemimpin wanita dan ketika ini Yo Jong adalah saudara Jong-un yang paling menyerlah dalam politik.

Yo Jong adalah ahli keluarga paling menyerlah, bagaimanapun sebagai negara konservatif, Korea Utara tidak pernah mempunyai pemimpin dalam kalangan wanita.

- Abang tirinya, Kim Jong Nam yang mengikut tradisinya mewarisi kedudukan di negara itu bagaimanapun telah terbunuh dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2017.

- Abang kandungnya, Kim Jong Chol yang dikenali sebagai peminat Eric Clapton tidak menunjukkan minat dalam politik.

- Isterinya, Ri Sol Ju yang juga bekas penyanyi melalui kehidupan dengan gaya hidup berprofil tinggi dan diberi gelaran Wanita Pertama pada 2018. Sol Ju berasal dari keluarga sederhana dengan bapanya selaku petugas akademik, manakala ibunya seorang doktor.

- Bapa saudara tirinya, Kim Pyong Il adalah adik tiri bapanya adalah duta ke beberapa negara di Eropah timur. Bagaimanapun dikatakan susur galur keluarga ini agak rumit kerana ada dalam kalangan mereka mempunyai ramai isteri dan gundik. Beliau telah dipanggil pulang ke Pyongyang tahun lalu dari Czech Republic dan sejak itu tiada berita mengenainya.

Bukan keluarga

Jong-un tidak pernah melantik penggantinya, bagaimanapun secara rasmi pemimpin kedua selepasnya adalah Choe Ryong Hae yang juga ahli parti politik yang memerintah republik itu, Demokratik Rakyat Korea Selatan sejak 1948 di mana beliau mengetuai biro politik dan juga naib presiden pertama Majlis Hal Ehwal Negara yang juga badan kerajaan tertinggi.

Ryong Hae berkuasa dan dikatakan mempunyai hubungan keluarga dengan Jong-un melalu perkahwinan. Bagaimanapun tidak pernah disahkan sama ada adik Jong-un iaitu Yo Jong telah berkahwin, tetapi media Korea Utara pernah melaporkan suaminya adalah anak Choe.

Apa akan berlaku kepada mayat Jong-un?

Kedua-dua bapa Jong-un dan datuknya telah diawet dan diletakkan di Istana Memorial Matahari Kumsusan iaitu kompleks pemakaman yang dibina dengan menggunakan batu marmar di luar Pyongyang.

Jong-un dikatakan mungkin akan melalui kaedah sama sebelum Pyongyang melaksanakan majlis pengebumian negara sekurang-kurangnya 10 hari selepas kematiannya.-Indiatoday.com

Artikel Lain