suria

UK belanjakan £16 juta untuk kit ujian dari China yang tak berfungsi

Kerajaan membelanjakan jutaan pound sterling membeli alat ujian koronavirus dari China tetapi malangnya tidak berfungsi.

PEGAWAI kerajaan di Britain sedang berusaha mendapatkan semula wang sebanyak £16 juta (RM87.2 juta) yang dibayar untuk alat ujian koronavirus yang tidak berfungsi.

Downing Street telah membayar sejumlah besar wang kepada dua syarikat China walaupun latar belakang teknologi peralatan tersebut belum terbukti, lapor New York Times.

AllTest Biotech dan Wondfo Biotech, masing-masing menyatakan bahawa produk mereka memenuhi standard kesihatan, keselamatan dan persekitaran yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah.

Pegawai kesihatan awam di UK telah mengkaji spesifikasi itu di atas kertas, sementara pejabat asing menghantar diplomat di China untuk memastikan syarikat itu wujud dan untuk memeriksa produk mereka.

Pertaruhan itu nyata menimbulkan masalah kerana kit ujian yang dikatakan dapat mengesan anitbodi untuk koronavirus itu tidak menunjukkan hasil, menurut seorang pegawai kanan kerajaan.

Hasil ujian di makmal Universiti Oxford menunjukkan ia tidak cukup tepat, dengan setengah juta kit ujian kini terbiar tanpa digunakan. Setengah juta lagi yang dibeli dengan harga yang serupa dari sumber lain juga tidak digunakan.

Jurucakap Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial berkata stok tersebut dibeli berdasarkan 'jumlah minimum’ dan mengatakan bahawa jika ia tidak berfungsi, pesanan akan dibatalkan dan kos dikembalikan 'sedapat mungkin’.


Alat ujian koronavirus itu didakwa tidak berfungsi.

Mendapatkan ujian antibodi yang berfungsi kini dilihat berada pada tahap kritikal dalam memerangi koronavirus.

Tidak seperti ujian antigen, yang menentukan sama ada seseorang itu telah diuji positif atau negatif Covid-19, ujian antibodi seharusnya dapat mengesan sama ada seseorang itu telah mempunyai koronavirus sebelum dan sejak pulih.

Ujian dijalankan dengan mengesan darah seseorang untuk mengetahui antibodi, yang bermaksud ia boleh dilakukan di rumah.

Setelah pegawai British mengadu mengenai ujian yang salah, kedua-dua syarikat China itu menyalahkan pegawai dan ahli politik Britain kerana salah faham serta membesar-besarkan kegunaan ujian tersebut.

Wondfo memberitahu Global Times, sebuah surat khabar China, bahawa produknya hanya sebagai ‘tambahan’ bagi pesakit yang telah positif virus tersebut.

AllTest dalam satu kenyataan di laman webnya berkata ujian itu ‘hanya digunakan oleh profesional’ bukan oleh pesakit di rumah.

Perkara ini mungkin menimbulkan rasa malu menteri kerajaan, yang telah berdepan kritikan berhubung dasar pengujian di UK.

Walaupun mensasarkan 100,000 ujian antigen sehari pada akhir April, hanya 15,994 ujian dilakukan dalam masa 24 jam sebelum jam 9 pagi hari Rabu.

Setiausaha Kesihatan Matt Hancock telah menyalahkan kadar ujian yang perlahan kerana kekurangan industri diagnostik utama di UK berbanding AS dan Jerman.

Walaupun terdapat janji untuk membangunkannya, UK masih ketinggalan dari kebanyakan negara di Eropah mengenai kemampuannya untuk menguji. -Metro UK

ujian, kit, antibodi, Covid-19, China

Artikel Lain