suria

Jenazah zon merah terbiar 7 jam depan pusat kesihatan, dikebumi cara pesakit Covid-19 tanpa tahu punca kematian

Jenazah lelaki yang terbiar tujuh jam akhirnya diuruskan umpama pesakit Covid-19.

JENAZAH seorang lelaki yang meninggal dunia di zon merah Jakarta telah dibawa keluarganya pulang ke kampung halamannya untuk dikebumikan di daerah Tamansari, Kota Tasikmalaya, Selasa.

Bagaimanapun, sebaik tiba di kota berkenaan di Jawa Barat pada awal pagi, jenazah itu hanya dibiarkan di depan pusat kesihatan masyarakat selama tujuh jam.

Insiden itu dikatakan berlaku kerana ketika itu petugas perubatan di situ baru saja memulakan kerja.

Akhirnya selepas tujuh jam menanti, dengan kerjasama pegawai di pusat kesihatan itu, pasukan perubatan yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) datang membantu menguruskan jenazah di perkuburan keluarganya.

"Betul, kelmarin ada maklumat jenazah dari zon merah Jakarta dan dibawa keluarga ke Kota Tasikmalaya tanpa protokol kesihatan kerana tidak maklum mengenainya.

"Jadi jenazah telah diletakkan di depan pusat kesihatan, maksudnya keluarganya telah membawa jenazah untuk diperiksa sebelum dikebumikan," demikian kata Ketua Jabatan Kesihatan Kota Tasikmalaya, Uus Supangat kepada media pada Rabu.

Uus menambah, tindakan keluarga lelaki itu yang membawa jenazah tanpa memakai PPE menyebabkan mereka diletakkan sebagai kontak rapat pesakit Covid-19.

Sehingga kini, pihaknya belum mendapat maklumat sama ada jenazah itu positif atau negatif wabak berkenaan.

Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, jenazah telah diuruskan mengikut SOP pesakit Covid-19 kerana datang dari zon merah.

Berdasarkan maklumat daripada keluarga, kata Uus, lelaki terbabit dalam keadaan sakit selama hampir seminggu sebelum meninggal dunia di Jakarta.

Bagaimanapun, setelah keluarganya menyedari ketika ini penularan pandemik Covid-19, jenazah dibawa ke pusat kesihatan untuk pemeriksaan sebelum jenazah dikebumikan.

"Kami pegawai pusat kesihatan hanya dapat melakukan setakat termampu untuk merawat pesakit. Jadi kami lakukan mengikut prosedur dan protokol yang ditetapkan apa lagi jenazah dari zon merah koronavirus Jakarta, tentu sekali perlu berwaspada," katanya.-kompas.com





Covid-19, zon merah, Jakarta, Tasikmalaya

Artikel Lain