suria

Rumah perlindungan dipenuhi pesakit Covid-19, gelandangan Las Vegas terpaksa tidur di parking lot

Rumah perlindungan yang penuh dengan pesakit Covid-19 menyebabkan gelandangan Las Vegas terpaksa tidur di tempat letak kereta.

GAMBAR gelandangan tidur di ruang tempat letak kenderaan di Las Vegas telah mencetuskan kritikan tanpa henti, walaupun pihak berkuasa bandar itu menjelaskan ia langkah ketika berdepan situasi kecemasan ketika penularan wabak Covid-19.

Tindakan yang diambil itu susulan rumah perlindungan untuk golongan itu telah digunakan untuk menempatkan pesakit virus berkenaan.

Hujung minggu baru-baru ini, pihak berkuasa Las Vegas memerlukan tambahan ruang tempat tidur untuk gelandangan apabila 500 kitil di rumah perlindungan itu telah digunakan untuk pesakit positif Covid-19.

Susulan itu, pentadbiran bandar itu telah mengubahsuai tempat letak kenderaan sebagai tempat tidur sementara gelandangan dengan setiap seorang dijarakkan semeter antara satu sama lain.

Bagaimanapun, tindakan sesetengah gelandangan yang tidur pada kedudukan rapat telah menimbulkan rasa kurang puas hati dalam kalangan masyarakat yang meluahkannya di media sosial.

Jurucakap pihak berkuasa bandar Las Vegas, Jace Radke berkata, lokasi terkini itu bertempat di luar Pusat Cashman yang menjadi venue sukan di bandar itu.

"Ruang di dalam pusat itu juga tidak dapat digunakan kerana ia digunakan untuk keperluan pihak hospital," katanya sambil menambah alas biru digunakan di kawasan seluas 24,000 kaki persegi.

Isu gelandangan terus menjadi krisis di selatan Nevada di mana sekurang-kurangnya 6,500 orang memenuhi jalan raya.

Kata Radke, Pusat Kebajikan Katholik yang menjadi lokasi penempatan gelandangan itu dijangka dibuka semula dalam masa seminggu.- TheGuardian.com

gelandangan, Las Vegas, Covid-19

Artikel Lain