suria

Gadis Kanada ini enggan keluar dari Wuhan hanya kerana seekor kucing, rela tempuh cabaran dikuarantin sendirian

Shramko bersama kucingnya, Kitya. -foto Kristina Shramko

WANITA ini sudah seminggu tidak keluar rumah.

Kali terakhir Kristina Shramko meninggalkan kediamannya di Wuhan, China, beberapa pegawai di pasar raya memeriksa suhu badannya sebelum dia masuk ke kedai untuk membeli barangan runcit.

Dia memakai topeng, arahan yang perlu dipatuhi di Wuhan sejak akhir Januari, malah pegawai-pegawai membuat rondaan sekitar kedai untuk memastikan pelanggan mematuhinya, kata Shramko.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah, pusat beli belah kosong... Wuhan kini jadi ‘bandar mati’

Wuhan telah 'dikunci' sejak 23 Januari lalu kerana di bandar yang mempunyai 11 juta penduduk itulah bermulanya wabak Covid-19.

Covid-19 sehingga kini telah menjangkiti sekurang-kurangnya 67,000 orang dan menyebabkan lebih daripada 1,500 orang maut.

Majoriti kes berlaku di wilayah Hubei dan China telah mengurung lebih daripada 50 juta penduduk di seluruh wilayah itu dan semua pengangkutan masuk dan keluar dari Wuhan telah dihentikan.

Keadaan jalan raya di Wuhan pada 3 Februari lalu. -foto Getty

Shramko adalah warga Kanada, dibesarkan di Vancouver dan belajar pemasaran fesyen. Dia bertemu dengan teman lelakinya yang tinggal di Wuhan, ketika berkunjung ke sana selama sebulan.

Dia kemudian berpindah ke Wuhan untuk bersama teman lelakinya kira-kira lapan bulan sebelum wabak bermula.

Apabila bandar itu ditutup, teman lelaki Shramko sedang berada di luar kawasan atas urusan kerja, menyebabkan dia tidak boleh kembali. Dia terpaksa tinggal bersama keluarga di wilayah yang berbeza.

Situasi ini telah menyebabkan Shramko tinggal keseorangan, hanya ditemani kucingnya, Kitya.

Apabila pihak berkuasa Kanada menyewa penerbangan khas untuk membawa pulang rakyatnya, Shramko pun membuat pendaftaran.

Tetapi apabila mendapat tahu terdapat dasar ketat yang melarang haiwan peliharaan dalam penerbangan, dia nekad tidak akan meninggalkan Kitya.

"Saya tak tahu bila wabak itu akan berakhir, jadi saya rasa seperti mengabaikannya walaupun saya memberikannya kepada kawan," Shramko memberitahu Business Insider.

Tetapi kehidupan dikuarantin tidak mudah.

"Selepas sebulan hanya bersendirian dan tidak banyak berinteraksi dengan manusia, ia benar-benar mencabar mental," kata Shramko.

Kedai runcit di seberang jalan dari pangsapuri tempat dia menginap kosong, katanya. Hanya ada beberapa bungkus mi di rak, tetapi sebahagian besar rak sudah tiada barang.

"Di luar keadaannya macam bandar hantu.

"Saya tinggal di seberang pusat beli-belah dan ia sentiasa penuh dengan manusia, malah jalan masuk ke tempat letak kereta mall sentiasa sibuk, kini tiada kereta dan tiada siapa di luar," katanya.

Pasar raya berhampiran rumah Shramko. -foto Kristina Shramko

Shramko yang berusia 21 tahun, tinggal di daerah Hanyang di Wuhan. Dia menghabiskan masa sepanjang tempoh kuarantin dengan menghasilkan kandungan YouTube. Pada siang hari, dia merakam dan menyunting video atau menonton video pengguna lain.

"Jika saya tak buat video, saya akan menonton filem.

"China ada saluran hampir sama dengan Netflix jadi saya dapat menonton filem Amerika di sini."

Dia juga membaca buku dan bermain dengan Kitya.

Orang yang sering berbual dengannya adalah teman lelakinya, selain rakan-rakan yang memeriksa keadaan dirinya dari semasa ke semasa. Shramko juga bercakap kepada keluarganya hampir setiap hari.

"Mereka beritahu saya apa yang mereka dengar mengenai koronavirus di Kanada dan saya beritahu mereka apa yang berlaku di China," katanya.

Buat masa ini, kerajaan China telah menawarkan untuk melanjutkan visa rakyat asing bagi mereka yang dikuarantin.

Tetapi wang semakin berkurangan, katanya.

"Tiada siapa yang bekerja sekarang jadi tiada pendapatan.

"Saya cuba berjimat kerana kita tak tahu bila semua ini akan berakhir," katanya.

Sepanjang tempoh kuarantin, Shramko banyak bermain dengan kucing, membaca dan menghasilkan kandungan Youtube. -foto Kristina Shramko

Dia mendengar khabar angin bahawa tempoh kuarantin itu boleh berlanjutan sehingga April atau Mei.

Shramko mengakui dia tidak terlalu bimbang dengan Covid-19 pada permulaan arahan berkurung.

"Masa tu saya fikir ia tidaklah berbahaya kerana masih belum nampak gambaran jelas, seolah-olah sesuatu yang anda lihat dalam filem. Selepas beberapa minggu, barulah saya sedar ia adalah perkara serius," katanya.

Tetapi dia mengakui sesetengah orang begitu dramatis kerana terlalu takut dengan wabak itu.

"Banyak kali orang mesej saya di Twitter atau Instagram dengan panik, minta saya tinggalkan China sekarang, seolah-olah jika saya tak keluar, saya akan mati.

"Jika anda berhati-hati dan ambil langkah berjaga-jaga yang perlu, anda akan baik-baik saja," katanya.

Tetapi itu tidak bermakna dia mahu terus tinggal di Wuhan.

Shramko berkata dia hanya akan gelisah jika kembali ke Kanada dan berharap kerajaan akan membenarkan dia keluar bersama Kitya.

"Dia sentiasa berada dengan saya sepanjang tempoh kuarantin ini.

"Saya patut sentiasa berada di sisinya juga," katanya.

kucing, kuarantin, Wuhan, Kanada

Artikel Lain