suria

Gara-gara koronavirus, anjing juga dipakaikan topeng muka!

Bukan sahaja manusia, anjing peliharaan turut dipakaikan topeng oleh pemilik mereka untuk mengelakkan jangkitan wabak koronavirus. Foto: Zhou Tianxiao

SUSULAN penularan wabak novel koronavirus yang melanda China sehingga menyaksikan lebih 200 orang maut, majoriti rakyat negara itu meningkatkan langkah pencegahan, khususnya dengan memakai topeng muka.

Namun, jangan terkejut kerana mereka bukan sahaja membeli topeng untuk melindungi diri sendiri dan ahli keluarga, bahkan untuk haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing.

Sungguhpun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan tidak ada bukti yang mengaitkan haiwan peliharaan boleh dijangkiti wabak tersebut, tetapi jualan topeng untuk haiwan peliharaan tetap laris.

Seorang peruncit dalam talian (online) yang berpangkalan di Beijing berkata, dia mampu menjual 10 kali bilangan topeng khas untuk anjing setiap hari berbanding sebelumnya.

Zhou Tianxiao, 33, berkata dia memulakan perniagaan topeng muka anjing khusus di laman web e-dagang China pada tahun 2018 untuk membantu haiwan terhindar dari pencemaran udara.

Tetapi sejak wabak koronavirus mula menyerang sejak bulan lalu di Wuhan, dia mendapati jumlah jualannya melonjak dengan sekurang-kurangnya mencatatkan jualan 50 keping sehari.

"Tujuan utama mereka membeli topeng untuk haiwan mereka adalah untuk menghalang asap, menghalang anjing daripada makan atau menjilat makanan di lantai dan mencegah mereka daripada terdedah kepada virus," katanya.

Sementara itu Profesor Li Lanjuan dari Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China berkata pemilik haiwan peliharaan tetap perlu mengambil langkah pencegahan terhadap haiwan peliharaan mereka kerana wabak itu boleh 'merebak antara mamalia'. - Metro.co.uk

anjing, topeng muka, koronavirus

Artikel Lain