Guru besar dakwa bunuh 3 mangsa, rompak kedai emas kerana bosan

Prasittichai menunjukkan lokasi dia membuang baju yang dipakai ketika melakukan jenayah bunuh dan rompak kepada pihak polis.

SUSPEK yang ditahan kerana tiga kes bunuh di kedai emas di Lop Buri dua minggu lalu sebenarnya adalah guru besar sebuah sekolah rendah.

Lebih mengejutkan ramai apabila pendidik itu mendakwa tindakannya membunuh mangsanya bagi menceriakan hidupnya yang dikatanya bosan, demikian kata sumber polis.

Lelaki itu disyaki telah menembak mati tiga individu termasuk seorang budak lelaki dan mencederakan empat yang lain.

Suspek yang berusia 38 tahun itu dikenali sebaai Prasittichai Khaokaew bertugas di Sekolah Wat Pho Chao berdekatan daerah Muang wilayah Sing Buri.

Dia ditahan pada Rabu lalu di Lop Buri ketika dalam perjalanan ke sekolah berkenaan.

Menurut sumber, hasil siasatan bahagian jenayah telah mengenal pasti suspek minggu lalu susulan maklumat penduduk setempat sebelum mendapat waran untuk menahannya.

Prasitthichai menetap di Lop Buri dan ditahan ketika memandu kereta mewah BMW 5 Siri hitamnya yang didaftarkan di Bangkok semasa dalam perjalanan ke tempat kerja.

Kenderaan mewah suspek ditahan di Lebuhraya 311 di Tha Wung di daerah Tha Wung.

Ketika ditahan, polis tidak menemui senjata dalam kenderaannya tetapi mendapati ada banyak peluru pistol 9mm iaitu senjata sama digunakan ketika rompakan di kedai emas Aurora di kompleks Robinson, Lop Buri pada 9 Januari lalu.

"Prasitthichai mengaku melakukan jenayah itu kerana bosan dengan kehidupannya dan mahukan cabaran dan keseronokan untuk menceriakan hidupnya.

"Dia juga tahu lambat laung polis akan menahannya," kata sumber itu lagi.

Dia mendakwa menggunakan pistol automatik keluaran Czech, CZ SP-01 milik bapanya yang juga bekas anggota polis.

Bagaimanapun senjata itu telah diserahkan semula kepada bapanya sehari selepas kejadian itu, begitu juga motosikal Yamaha Fino milik bapa mentuanya yang digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan.

Pihak polis bagaimanapun tidak percaya dengan alasan yang diberikan suspek dan masih meneruskan siasatan dengan menyoal siasatnya.

Pada Rabu, suspek telah membawa polis ke lokasi di mana dia membuang pakaian yang dipakai ketika melakukan jenayah itu.

Selain itu, dia mengaku mencampakkan sejumlah emas yang dicuri ke dalam Sungai Chao Phraya di bawah Jambatan Bang Rachan.

Salah seorang yang terkorban dalam kejadian itu adalah pekerja wanita kedai emas berkenaan, Thidarat Thongthip, 31.

Bapa mangsa, Surakit Thongthip menolak spekulasi jenayah itu bermotifkan cemburu, malahan menegaskan dia tidak pernah bertemu atau melihat suspek sebelum ini.-Bangkokpost.com




Prasittichai, Lop Buri

Artikel Berkaitan

Artikel Lain