Bayi usia 14 bulan hanya diberi minum kopi O lima gelas sehari - Dunia | mStar

Bayi usia 14 bulan hanya diberi minum kopi O lima gelas sehari

Kerana miskin, bayi berusia 14 bulan hanya mampu diberi minum kopi O oleh ibu bapanya. -foto Kompas

SEORANG bayi berusia 14 bulan hanya minum kopi O sejak usianya enam bulan.

Anita, ibu kepada Hadijah Haura mengaku terpaksa memberikan kopi kepada anaknya kerana tidak mampu membeli susu.

Anita, suaminya, Sarifuddin dan Hadijah tinggal di rumah ibunya di Sulawesi Barat, Indonesia.

Dalam sehari, Hadijah minum lima gelas kopi O atau bersamaan dengan 1.5 liter.

Walaupun minum kopi, pertumbuhan Hadijah sama seperti bayi-bayi lain. Malah, ketika usianya 14 bulan, Hadijah sudah mahir berjalan dan aktif bermain bersama teman sebaya.

Ibu bapa Hadijah bekerja sebagai pengupas kelapa dengan gaji 20,000 Rupiah (RM5.90) sehari.

Jika mereka berdua keluar bekerja, mereka akan mendapat upah maksima 40,000 Rupiah (RM11.80) yang digunakan untuk membeli barangan keperluan.

Tetapi ada masanya juga mereka perlu menganggur.

Masalah kewangan adalah alasan Anita terpaksa memberikan kopi kepada anaknya. Katanya, Hadijah tidak boleh tidur sebelum minum kopi.

"Nak buat macam mana, pendapatan kami tak cukup untuk beli susu. Terpaksalah beri botol berisi kopi setiap hari.

"Dia tak boleh tidur kalau tak minum kopi. Selalu merengek minta kopi sebelum tidur,” jelas Anita kepada wartawan memetik Kompas.

Anita berkata selama ini dia tidak pernah memohon bantuan susu atau makanan tambahan untuk anaknya.

Sementara itu ketua kampung tersebut, Sarifuddin menafikan penduduknya itu miskin, sehingga tidak mampu membeli susu.

Menurutnya, ibu bapa Hadijah tinggal di rumah yang tidak dikategorikan miskin dan neneknya juga bukan termasuk golongan warga miskin.

Pada Selasa pasukan perubatan dari Dinas Kesihatan Polewali Mandar, Sulawesi Barat, memeriksa keadaan Hadijah.

Menurut ketua bahagian kesihatan masyarakat Polewali Mandar Mandaria Saleh, pasukan mereka memastikan sama ada pengambilan kopi yang mengandung kafein dan gula itu mempengaruhi pertumbuhan kesihatan Hadijah.

"Kopi mengandungi kafein dan gula tinggi, jadi ia bahaya untuk kesihatan kanak-kanak jika terus diambil," kata Mandaria.

Hasil pemeriksaan tahap kesihatan dan gizi Hadijah, ia masih dalam keadaan normal.

Namun petugas kesihatan telah meminta ibu bapa Hadijah untuk menghentikan kebiasaan minum kopi, kerana ia akan memberikan kesan buruk jika diambil dalam jangka masa panjang.

Petugas kesihatan juga telah memberikan bantuan susu dan makanan pelengkap seperti biskut untuk Hadijah.

Bukan hanya itu, bantuan susu dan makanan bayi untuk Hadijah juga diperolehi daripada banyak pihak termasuk dari syarikat susu.

kopi , bayi , miskin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain