suria

Hidup berubah selepas ujian DNA buktikan lelaki ini anak jutawan, malangnya selepas bapa meninggal dunia

Walaupun kini bergelar jutawan, Rogers tetap terkilan kerana tidak sempat bertemu bapanya. Foto: SWNS

TUAH manusia tiada siapa yang tahu. Itulah yang berlaku kepada seorang lelaki yang hidupnya berubah 360 darjah.

Jordan Adlard Rogers,31, menghabiskan masa bertahun untuk buktikan bapanya adalah Charles Rogers.

Namun bukan sesuatu yang mudah buat pemuda itu kerana perlu menjalani beberapa ujian untuk buktikan dia adalah anak kepada jutawan tersebut.

Charles ditemui mati dalam kereta di ladang miliknya pada Ogos tahun lalu, dan selepas itu ujian DNA membuktikan Rogers adalah anaknya.

Abang dan ibu Charles juga telah meninggal dunia yang menjadikan Rogers satu-satunya waris yang masih hidup.

Nilai ladang milik Charles 50 juta pound.

Charles meninggal dunia sebelum sempat mengenali anak lelakinya. FOTO: SWNS

Sebelum ini, Rogers hanya bekerja biasa dan tinggal di sebuah rumah awam.

Dia kini merupakan pemilik tunggal National Trust Penrose Estate seluas 1,236 hektar.

Jelas Rogers, dia menyedari Charles adalah bapanya sejak berusia lapan tahun.

“Dia menawarkan untuk jalani ujian DNA ketika saya berusia lapan tahun, namun tidak berlaku.

“Pada usia 18 tahun saya berjumpa dengannya untuk jalani ujian DNA, namun ditolak.

“Saya menulis beberapa keping surat ketika usia saya 20-an dan dia tidak pernah membalasnya.

“Namun tiga tahun lalu saya menghubungi peguam Philip Care,” jelas Rogers.

Philip memberitahu Charles masih tidak mahu menjalani ujian tersebut.

“Saya sekali lagi menghantar surat kepadanya. Satu hari Philip menghubungi saya memberitahu Charles sudah meninggal dunia,” jelasnya.

Selepas Rogers berpindah masuk ke rumah agam keluarganya, dia kini sibuk mengkaji susur jalur asal usul sendiri.

“Orang anggap saya seorang yang bertuah tetapi ia tidak sama kerana Charles sudah tiada dan tidak tahu saya adalah anaknya.

“Mungkin kami akan bertemu di alam lain.

“Saya tidak perlu bekerja lagi sekarang dan mahu menubuhkan sebuah badan kebajikan dan membantu komuniti Porthleven and Helston,” tambah Rogers. -metro.co.uk

Artikel Lain