suria

Lapor guru besar buat serangan seksual, pelajar disimbah minyak, dibakar atas bumbung sekolah

Nusrat Jahan Rafi tidak dapat diselamatkan selepas dirinya dibakar kerana melaporkan salah laku guru besar di sekolahnya.

SEORANG gadis disimbah dengan minyak tanah dan dibakar hingga mati selepas enggan menarik balik aduan gangguan seksual terhadap guru besar sekolahnya.

Nusrat Jahan Rafi maut dalam kejadian yang menimbulkan kemarahan ramai di Bangladesh apabila dia dibawa ke atas bumbung sekolahnya oleh seorang pelajar dan diserang.

Menurut kenyataan yang diberikan gadis berusia 19 tahun itu sebelum kematiannya, dia telah dikelilingi empat atau lima individu yang memakai burqa yang memaksanya menggugurkan kes tersebut.

Apabila dia enggan berbuat demikian, mereka membakarnya.

Nusrat dibawa ke hospital yang mana doktor mendapati 80 peratus daripada tubuhnya terbakar.

Dia sempat merakamkan kata-kata terakhirnya menggunakan telefon abangnya semasa di dalam ambulans dengan berkata: "Guru itu menyentuh saya, saya akan melawan jenayah ini sehingga nafas terakhir."

Dia juga sempat memberitahu bahawa beberapa penyerangnya adalah pelajar sekolahnya sendiri.

Disebabkan doktor tidak dapat merawatnya, dia dipindahkan ke Hospital Kolej Perubatan Dhaka dan meninggal dunia pada 10 April.

Insiden itu berlaku 11 hari selepas dia memfailkan aduan gangguan seksual kepada polis.

Menurut Nusrat, dia dipanggil ke pejabat guru besar di sekolahnya di mana dia mendakwa dirinya berulang kali disentuh dengan cara yang tidak wajar.

Pekan kecil berhampiran tempat tinggal mangsa yang terletak di selatan Dhaka, Bangladesh.

Dia melarikan diri dan memberitahu keluarganya tentang dakwaan gangguan seksual itu dan melaporkan kejadian itu kepada polis pada hari yang sama, menurut BBC.

Dia turut menyatakan bahawa dirinya dirakamkan oleh seorang pegawai ketika menceritakan tentang dakwaan cabul itu di balai polis.

Nusrat dikatakan sangat sedih apabila rakaman itu tersebar di media sosial dan kedengaran polis memberitahunya aduan itu 'bukan masalah besar'.

Polis kemudian menangkap guru besar sekolah tersebut.

Susulan itu, sekumpulan orang berkumpul dan melakukan demonstrasi jalanan menuntut pembebasannya.

Kematian Nusrat telah mencetuskan kemarahan di seluruh negara dan polis telah melancarkan siasatan atas kejadian itu.

Seramai 15 orang telah ditahan kerana disyaki membunuh Nusrat.

Perdana Menteri Sheikh Hasina bertemu dengan keluarga Nusrat di Dhaka dan berjanji bahawa setiap individu yang terlibat dalam pembunuhan itu akan dibawa ke muka pengadilan.

"Tiada seorang pun dalang akan terlepas daripada tindakan undang-undang," katanya, menurut laporan.

Terdapat 940 kejadian rogol di Bangladesh pada 2018, menurut kumpulan hak asasi wanita Bangladesh Mahila Parishad.

Profesor Kaberi Gayen dari University of Dhaka berkata insiden tersebut telah mengejutkan rakyat di negara itu.

"Perubahan mesti berlaku, baik secara psikologi dan dalam melaksanakan kedaulatan undang-undang. Kesedaran mengenai gangguan seksual harus dibangkitkan dari zaman kanak-kanak di sekolah.

"Mereka perlu belajar apa yang betul dan salah apabila ia berkaitan dengan gangguan seksual." -Independent

cabul, gangguan seksual, bakar

Artikel Lain