Polis tahan pengemis tanpa hidung yang tular, didakwa ada kereta Avanza, tiga isteri - Dunia | mStar

Polis tahan pengemis tanpa hidung yang tular, didakwa ada kereta Avanza, tiga isteri

Kecoh di media sosial kononnya Herman mempunyai kereta sendiri walaupun hanya bergelar pengemis. -foto Istimewa

SEORANG pengemis yang tular kerana didakwa mempunyai kenderaan ditahan polis.

Pengemis yang hanya dikenali sebagai Herman itu dicekup ketika sedang meminta sedekah di Yasmin, Jalan Abdullah bin Nuh, Kota Bogor, Indonesia, Rabu.

Lelaki tanpa hidung itu kemudian dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan.

Selesai diambil keterangan dia dibawa ke Pejabat Dinas Sosial (Dinsos) untuk direkod dan seterusnya direhabilitasi.

Selepas kisah tentang dirinya tular, Herman ditahan pada Rabu untuk disoal siasat. -foto merdeka.com

Ketika ditanya petugas Dinsos, Herman menafikan memiliki kereta dan rumah mewah, serta mempunyai tiga isteri.

"Jadi, apa yang dikatakan di media sosial itu fitnah, tidak benar," kata Herman.

Jelasnya, kereta Toyota Avanza warna hijau yang tular di media sosial itu disewanya bersama pemandu dengan bayaran 85,000 rupiah (RM24) sehari.

"Betul naik kereta, tapi bukan saya punya. Kereta itu setiap hari saya sewa dengan jiran. Pemandunya juga setiap hari hantar dan jemput saya," katanya.

Dia mengaku menyewa kereta kerana kakinya sudah tidak kuat lagi untuk naik kenderaan lain yang lebih murah tambangnya.

"Kaki kalau diangkat begini tak boleh jalan, sebab itu guna kereta," kata pengemis berusia 87 tahun itu.

Dia juga menafikan memiliki rumah mewah di Leuwiliang, Kabupaten Bogor, dan mempunyai tiga isteri seperti yang didakwa di media sosial.

Malah katanya, dia kini tidak mempunyai isteri.

Latar belakang diri Herman direkod. -foto merdeka.com

"Kalau kahwin memang tiga kali, tapi kahwin-cerai, kahwin-cerai, dan sudah meninggal semua. Yang pertama orang Madura, kedua Cimayang, ketiga orang Palembang," katanya.

Herman mendakwa sudah menjadi pengemis di sejumlah jalan Kota Bogor sejak tahun 1980. Ketika ini, dia lebih banyak berkeliaran di lampu merah Simpang Yasmin atau Simpang Semplak.

Dari hasil mengemis yang bermula pukul 7 pagi sehingga 11 malam dia mampu mengutip minima 150,000 rupiah (RM43) sehari. Wang tersebut digunakan untuk memenuhi keperluan hidup anak, menantu dan cucu-cucunya.

"Anak saya gajinya kecil. Semua tinggal satu rumah, menantu, anak dan cucu," ujarnya.

Sebelum itu Herman terserempak dengan anggota polis ketika hendak masuk ke dalam kereta di kawasan Jalan Abdullah bin Nuh, tak jauh dari tempat dia biasa mengemis.

Salah seorang daripada mereka sempat mengambil gambarnya sehingga foto tersebut tular di media sosial.

Setelah menjadi perbincangan hangat Herman menjadi sasaran operasi polis yang membawa kepada penangkapannya. -Liputan6

pengemis , kereta , isteri

Artikel Berkaitan

Artikel Lain