suria

'Lelaki tangkal' maut dilanggar trak ketika keluar rumah tak pakai baju perisai

Baju perisai Buddha yang sering dipakai Sanom Chantaraphirom. -foto Thaich8 News

SEORANG lelaki dari Thailand yang terkenal dengan baju 'perisai Buddha' yang dipercayai dapat membawa tuah dan nasib baik meninggal dunia dalam satu kemalangan tragis selepas keluar tanpa memakai pakaian tersebut.

Sanom Chantaraphirom, 58, seorang penganut agama Buddha yang berdedikasi pernah menjadi tajuk berita utama di Thailand dua tahun lalu, apabila video dirinya sedang berjalan sambil memakai baju perisainya di sekitar jalan di daerah kelahirannya, Sawaeng Ha, tular.

Pihak media tidak lama kemudian menghubunginya dan mendapat tahu bahawa lelaki itu yang mencari rezeki dengan menggunakan motosikal roda tiganya telah mengumpulkan beratus-ratus tangkal Buddha dari pelbagai kuil di seluruh negara dan menjadikannya sebagai baju perisai, lengkap bersama topi keledar.

Membawa barang menggunakan motosikal roda tiga menjadi sumber pendapatannya.

Tangkal Buddha itu dipercayai menjadi alat yang dapat memberikan nasib baik kepada pemakai dalam pelbagai aspek kehidupan dan hampir setiap penganut Buddha di Thailand memiliki sekurang-kurangnya satu tangkal.

Bagaimanapun Chantaraphirom memakai berpuluh-puluh tangkal di atas bajunya.

Tangkal ini biasanya ditawarkan kepada penganut yang menyumbangkan wang atau minyak di kuil. Ia mempunyai pelbagai saiz dan bentuk dan diperbuat daripada bahan berbeza, seperti plaster, tulang, kayu atau logam.

Antara set baju perisai milik Chantaraphirom.

Chantaraphirom mula memakai salah satu daripada tiga set perisai azimatnya setiap hari beberapa tahun lalu dan orang ramai mula memberi perhatian.

Mereka mula bertanya tentangnya, dan ada yang bertanya sama ada ia boleh dipinjam pada hari-hari tertentu tetapi dia selalu menolak.

Pada tahun 2017, Aeconline News melaporkan bahawa dia menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat set perisai Buddha mereka sendiri jika tidak 'kuat' kerana ia tidak akan berfungsi.

Bulan lalu, lelaki ini mengejutkan orang ramai apabila dia dilaporkan meninggal dunia dalam kemalangan kereta yang tragis.

Kemalangan tragis membabitkan Chantaraphirom mengejutkan orang ramai.

Dia sedang menunggang roda tiganya pulang ke rumah apabila sebuah trak melanggarnya dan tersadai di sebuah kedai di tepi jalan.

Kecelakaan tragis sedemikian adalah perkara biasa, tetapi apa yang menarik perhatian orang ramai terhadap kes ini adalah dia tidak memakai perisai yang terkenal ketika kejadian. -Oddity

Artikel Lain