Kena cerai selepas buat kejutan bedah wajah ketika suami kerja luar kawasan - Dunia | mStar

Kena cerai selepas buat kejutan bedah wajah ketika suami kerja luar kawasan

SEORANG suami bertindak menceraikan isterinya yang tidak mendapatkan persetujuannya sebelum membuat pembedahan plastik bagi menutup kecacatan di wajahnya supaya kelihatan lebih cantik.

Wanita Arab itu didakwa menjalani pembedahan plastik di salah sebuah hospital di Al Ain, Dubai, termasuk memperbaiki bahagian muka yang tidak sempurna dan menghilangkan kedutan ketika suaminya bekerja di luar kawasan selama dua bulan.

Wanita itu didakwa ingin membuat kejutan kepada suaminya dengan wajah baharunya yang bertambah baik apabila dia pulang dari tugasan.

Sebaliknya lelaki itu marah kerana dia lebih sukakan kecantikan semula jadi dan benci dengan pembedahan plastik.

Tidak jelas tentang kecacatan pada wajah wanita tersebut.

Dokumen rasmi mahkamah menyatakan bahawa apabila lelaki tersebut pulang ke rumah dan mendapati isterinya melakukan pembedahan tanpa izin, dia berasa sangat marah kerana pembedahan itu menjadikan isterinya nampak seperti orang lain.

Wanita itu cuba memberi alasan bahawa dia menjalani pembedahan penting itu atas cadangan doktor dan lelaki itu harus memaafkannya kerana tidak memaklumkan kepadanya tentang hal tersebut, tetapi alasannya itu hanya sia-sia.

Lelaki itu kemudian memohon perceraian di Mahkamah Keluarga Al Ain selepas usaha penyatuan gagal. -Khaleej Times

pembedahan plastik , kejutan , cerai

Artikel Lain