suria

Tambah sekurang-kurangnya 1,667 rakan baharu di media sosial, pensyarah beri tugasan untuk A+

Foto geralt/Pixabay

SEORANG pensyarah bergelar profesor di sebuah universiti di China mencetuskan kekecohan dalam kalangan netizen apabila memberikan tugasan luar biasa kepada para pelajarnya.

Tugasan tersebut memerlukan mereka menambah 1,667 rakan dalam Wechat, aplikasi rangkaian sosial popular di China, bagi membolehkan mereka memperoleh gred A+.

Tugasan kontroversi itu diberikan kepada para pelajar yang mengambil kursus Online and New Media (Dalam Talian dan Media Baharu) di Universiti Undang-Undang dan Ekonomi Henan.

Mereka perlu menambah sekurang-kurangnya 1,001 akan baharu di Wechat bagi membolehkan mereka mendapat markah 60 daripada 100 peratus.

Lebih ramai kawan yang ditambah dalam aplikasi, maka lebih banyak markah akan diberi.

Dengan sekurang-kurangnya 1,667 rakan baharu memberi jaminan kepada mereka untuk memperoleh gred A+.

Walaupun segelintir pelajar mengadu tugasan tersebut amat sukar, tetapi fakulti di universiti itu menjelaskan bahawa ia merupakan persiapan buat belia untuk berdepan dengan kehidupan sebenar.

"Ia merupakan tugasan yang sukar. Saya hanya ada kira-kira 100 rakan di Wechat. Ramai antara kami kecewa dan bimbang tidak dapat menambah terlalu ramai kawan," kata seorang pelajar kepada Pear Video.

Seorang pelajar lain mengadu profesor tersebut tidak menawarkan tugasan alternatif bagi membolehkan mereka memperoleh markah lulus 30 peratus bagi kursus itu.

Lebih menyulitkan keadaan apabila tugasan yang diberikan pada 10 Mac lalu itu hanya diberikan tempoh dua minggu untuk menyiapkannya.

"Tugasan ini merupakan modul asas dalam kursus. Apa yang kita katakan selepas ini adalah apabila pelajar-pelajar ini mencari kerja, mereka akan mempunyai kemahiran asas yang penting bagi operasi media sosial," kata seorang pensyarah Universiti Undang-Undang dan Ekonomi Henan bagi menjelaskan mengenai tugasan tersebut. - odditycentral

Wechat, media sosial

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain