Jijik, meloyakan! Ibu bapa bongkar dapur kantin sekolah penuh makanan busuk, berulat - Dunia | mStar

Jijik, meloyakan! Ibu bapa bongkar dapur kantin sekolah penuh makanan busuk, berulat

APA yang akan anda lakukan jika berdepan situasi ini - makanan di kantin sekolah anak seperti roti disaluti kulat, daging busuk dan makanan laut pula berbau.

Senario itu menyebabkan sekumpulan ibu bapa berang selepas mendapat tahu keadaan makanan di sekolah tinggi berprestij di Chengdu, China.

Segalanya terbongkar apabila ibu bapa dijemput menghadiri majlis menanam pokok di Sekolah Tinggi 7 Chengdu baru-baru ini.

Ketika majlis itu dua trak didapati memasuki pekarangan sekolah itu untuk mengangkut semua makanan yang rosak bagi membolehkan proses pembersihan dijalankan di dapur berkenaan.

Bagaimanapun, kekecohan tercetus apabila ada ibu bapa yang telah memberhentikan sebuah trak berkenaan hingga berlaku pergaduhan sesama mereka.

Keadaan itu menyebabkan polis terpaksa masuk campur menggunakan penyembur lada dan menahan 12 individu yang mencetuskan kekecohan itu.

Ibu bapa terbabit marah kerana memikirkan kesihatan anak-anak mereka yang boleh terganggu akibat kecuaian pengurusan sekolah hingga menyebabkan berlakunya lambakan bahan makanan rosak disimpan di situ.

"Makanan yang dibuang itu kelihatan seperti telah bertahun-tahun disimpan dalam peti sejuk, umpama daging zombie," kata bapa yang dua anaknya bersekolah di situ.

"Daging yang ada busuk sekali, manakala halia yang disimpan juga kelihatan jijik," tambahnya lagi.

Bapa yang berang itu juga memberitahu BBC, dia membelanjakan wang yang banyak untuk membolehkan anak-anaknya bersekolah di situ dan kecewa apabila kejadian ini berlaku.

"Saya tidak akan beritahu anak lelaki saya mengenai kejadian ini kerana bimbang dia tidak akan menjamah makanan yang dijual di kantin selepas ini.

"Sebelum ini, anak perempuan saya ada mengadu sakit perut, tetapi saya sangka ia kesan daripada senaman yang dilakukannya," katanya.

Pada November lalu, sekumpulan pelajar sekolah yang yuran pembelajarannya mencecah £4,380 mengalami sakit perut.

Mungkin ia antara sebab ibu bapa pelajar sekolah itu memasuki kantin bagi memeriksa keadaan di situ.-metro.co.uk




Chengdu , kulat , daging

Lebih Artikel