suria

Saintis dakwa hasilkan bayi pertama yang diubah suai secara genetik

Jiankui mendakwa telah membantu menghasilkan manusia pertama yang 'diubah suai secara genetik'.

SEORANG saintis mendakwa dirinya telah membantu menghasilkan manusia pertama yang 'diubah suai secara genetik' melalui kerja makmal yang dijalankan di China.

Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kembar yang diubah menggunakan peralatan baharu itu didakwa mampu 'menulis semula' rangka tindakan (blueprint) kehidupan, kata penyelidik dari China tersebut.

Kerja makmal itu dilakukan dengan harapan dapat memberikan bayi yang belum dilahirkan untuk menepis jangkitan virus AIDS (HIV) pada masa akan datang.

Pengubahan genetik adalah dilarang di Britain, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain di dunia.

Seorang pakar menegaskan bahawa perbuatan itu adalah tidak bermoral dan beretika.

Penyelidik terbabit, He Jiankui dari Shenzen berkata, beliau telah mengubah embrio untuk tujuh pasangan yang menjalani rawatan kesuburan dengan kejayaan satu kehamilan setakat ini.

Beliau berkata, matlamatnya bukanlah untuk mengubati atau mencegah penyakit yang diwarisi, tetapi cuba untuk memberikan ciri yang hanya dimiliki oleh sesetengah orang secara semula jadi, iaitu keupayaan untuk menahan kemungkinan jangkitan HIV pada masa depan.

Beliau berkata ibu bapa yang terlibat dalam kerja makmal itu enggan dikenali atau ditemu ramah.

Jiankui juga tidak akan mendedahkan lokasi tempat tinggal mereka atau di mana kerja makmal itu dilakukan.

Beliau mendedahkan tentang penyelidikan itu kepada salah seorang penganjur persidangan antarabangsa mengenai pengubahan genetik di Hong Kong pada Isnin. - The Associated Press/Daily Mail

ubah genetik

Artikel Lain