Bateri lithium ion punca MH370 terbakar? - Dunia | mStar

Bateri lithium ion punca MH370 terbakar?

Kehilangan pesawat MH370 masih kekal misteri sehingga hari ini.

NEW YORK: Juruterbang yang mengendalikan MH370 dipercayai 'maut serta merta' selepas pesawat itu terbakar.

Teori terbaharu itu dikeluarkan oleh juruterbang bersara, Kapten Ross Aimer yang percaya bateri lithium ion dalam kargo pesawat MAS itu telah mencetuskan kebakaran tersebut.

Bekas juruterbang United Airlines itu juga percaya kebakaran merebak dengan cepat dan menyebabkan juruterbang terbunuh dalam masa singkat.

Aimer yang mempunyai pengalaman terbang selama 40 tahun memberitahu Daily Star Online, kebakaran seperti itu dengan pantas telah merebak ke kawasan kokpit dan bekalan oksigen mereka.

Pesawat tersebut dikemudi Kapten Zaharie Ahmad Shah.

"Jika benar situasi itu berlaku, juruterbang mungkin terbunuh dalam tempoh singkat. Berdasarkan teori saya, pesawat itu mungkin terbang untuk tempoh yang lama hingga kehabisan minyak sebelum terhempas.

"Ia bukan api yang perlahan. Tetapi, kebakaran yang merebak dengan cepat walaupun tidak berlaku letupan," ujarnya.

Beliau turut menyokong teori itu dengan maklumat yang mendakwa MH370 membawa 221 kilogram bateri lithium ion dalam kargo.

Teori itu juga timbul selepas Aimer mengesyaki kebakaran mungkin berpunca disebabkan bateri dan juga sejumlah 4,566 kilogram buah manggis yang turut dibawa pesawat tersebut.

Imej Google Maps menunjukkan sebuah pesawat besar di dalam sebuah hutan di Phnom Penh.

Pada Oktober lalu, penerbit video warga Britian, Ian Wilson mendakwa kokpit dan ekor pesawat MH370 berada di sebuah hutan di Phnom Penh selepas menghabiskan masa selama beberapa jam melakukan carian secara dalam talian.

Gambar daripada Google Maps itu bagaimanapun mencetuskan tanda tanya tentang kesahihannya kerana mempunyai tarikh yang berbeza.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing, hilang dari radar pada 8 Mac 2014 dan isyarat terakhir dikesan di selatan Lautan Hindi. - The Sun

MH370

Artikel Lain