suria

Lion Air: Keluarga mangsa tunggu keputusan DNA

Sebahagian keluarga mangsa yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Jakarta. Foto: Bloomberg

JAKARTA: Waris keluarga mangsa pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di Laut Jawa semalam masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada Hospital Bhayangkara.

Sejak Isnin, pekarangan hospital terbabit dipenuhi waris keluarga mangsa selepas 24 beg berisi mayat tiba untuk proses pengecaman.

Difahamkan, proses pengecaman mayat bermula jam sembilan pagi tadi (waktu tempatan).

Dalam perkembangan berkaitan, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui beberapa lagi mayat di lokasi kejadian.

Ketua SAR, Muhammad Syaugi berkata, pasukan penyelamat sudah mengisi 10 beg dengan anggota badan manusia yang akan dibawa ke Jakarta untuk dikenal pasti identiti mayat.

Katanya, sebanyak 14 lagi beg diisi dengan serpihan pesawat yang dikumpulkan dan usaha mencari bangkai pesawat di dasar laut masih diteruskan hari ini (Selasa).

Setakat ini agensi mencari masih belum menjumpai perakam suara dan data.

Pesawat malang itu dalam penerbangan dari Jakarta menuju ke Pangkal Pinang sebelum ia terputus hubungan, kira-kira jam 6.30 pagi (waktu tempatan). Republika/Reuters

Keluarga mangsa, Lion Air

Artikel Lain