suria

Kerajaan tak anggap lucu, dua lelaki tawar 'isteri percuma' kepada lelaki bujang terima padah

PIHAK berkuasa di selatan China mendakwa dua lelaki menyebarkan maklumat palsu apabila membuat pengumuman bahawa lelaki-lelaki bujang di sebuah wilayah akan dikahwinkan dengan wanita warga asing sebagai sebahagian daripada pelan pembasmian kemiskinan kerajaan.

Kedua-dua mereka membuat rakaman memberitahu orang ramai bahawa kerajaan akan 'mengedarkan' wanita cantik dari Rusia dan Jepun sebagai isteri kepada lelaki di Guizhou, wilayah paling miskin di China yang mempunyai nisbah kelahiran lebih 120 lelaki untuk setiap 100 perempuan.

Nisbah itu adalah salah satu ketidakseimbangan jantina paling teruk dalam negara.

Menurut posting di Weibo oleh pihak berkuasa tempatan, dua lelaki yang melakukan 'prank' itu dilihat dalam dua klip memberitahu lelaki bujang tempatan untuk sentiasa 'menghidupkan telefon bimbit kerana mereka akan dihubungi tidak lama lagi untuk mengatur pengambilan isteri warga asing baharu mereka'.

Rakaman ini dilihat bertujuan untuk menipu pengguna media sosial bahawa inisiatif itu adalah betul dan ia mula tersebar luas dalam kumpulan WeChat di kawasan tersebut.

Khabar angin tersebar bahawa lelaki itu adalah pekerja kerajaan yang merupakan ahli gabungan dengan pelan kemiskinan China, sebuah pemacu kebangsaan yang dipimpin oleh Presiden Xi Jinping untuk menghapuskan kemiskinan pedalaman menjelang tahun 2020.

Apabila pihak berkuasa di kota Anshun mendengar khabar tentang 'prank' itu, mereka melancarkan satu siasatan dengan pasukan polis dan akhirnya mengenal pasti dua lelaki tempatan.

'Prank' itu yang telah tersebar meluas di media sosial, telah diilhamkan dari satu kejadian hampir sama bulan lepas apabila tiga lelaki di daerah lain di Guizhou menyamar sebagai pekerja pembasmian kemiskinan dan menawarkan isteri percuma.

Lelaki-lelaki itu yang didakwa meniru video terdahulu, ditahan dan didenda oleh pihak berkuasa tempatan.

Prank 'isteri percuma' timbul ketika China berdepan masalah demografi yang serius, di mana keutamaan tradisional diberikan untuk anak lelaki telah menyebabkan pengguguran berasaskan jantina dan pembunuhan beramai-ramai sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

Masalah ini menjadi lebih teruk apabila dasar satu anak baru sahaja dihapuskan.

China adalah antara negara-negara yang mempunyai nisbah ketidakseimbangan jantina paling teruk dengan 87 bayi perempuan lahir untuk setiap 100 kelahiran, menurut data Forum Ekonomi Dunia 2017.

Ketidakseimbangan ini biasanya lebih teruk di wilayah luar bandar China yang penduduknya lebih miskin kerana golongan wanita cenderung berpindah ke wilayah barat yang lebih tinggi taraf hidup, meninggalkan golongan lelaki bujang dengan prospek kerjaya yang rendah dan peluang mereka untuk mencari isteri lebih kecil.

Guizhou adalah antara enam wilayah selatan China yang nisbah kelahiran mengikut jantina adalah sekitar 120:125 dalam bancian China pada tahun 2010.

Untuk mengatasi masalah ini, pihak berkuasa telah tampil dengan idea-idea kreatif untuk menaikkan kadar perkahwinan.

Di Guizhou, awal tahun ini, pegawai mencadangkan subsidi perkahwinan untuk pengantin baru, termasuk subsidi 3 yuan (RM1.80) untuk setiap gram barang kemas, yang menurut media negara disasarkan kepada 'usia perkahwinan lewat'.

Tidak jelas hukuman apakah dikenakan terhadap dua lelaki di sebalik gurauan itu, tetapi pihak berkuasa tempatan berkata mereka akan dikenakan hukuman di bawah undang-undang negara berkaitan 'gangguan perintah awam dengan menyembunyikan fakta dan mengedarkan maklumat palsu'. -SCMP

prank, pengantin

Artikel Lain