suria

Wanita dikecam teruk buat budak lelaki menangis ketakutan, mengamuk dakwa punggungnya diraba

SEORANG wanita di New York berdepan kecaman apabila menghubungi polis mendakwa dirinya diraba oleh seorang budak lelaki berkulit hitam.

Rakaman kamera pengawasan yang pertama kali dikeluarkan oleh New York Post di dalam kedai Sahara Deli Market di Flatbush, Brooklyn menunjukkan seorang budak lelaki berumur sembilan tahun berjalan bersama ibunya melewati wanita tersebut, Teresa Klein, Rabu.

Budak lelaki itu dapat dilihat sedang menggalas beg dan membawa beg plastik besar.

Klein kemudian segera berpaling dan dapat dilihat memaki ibu budak lelaki itu dan mendakwa punggungnya diraba oleh anaknya.

Situasi menjadi semakin teruk apabila Klein menghubungi polis di luar kedai, menurut laporan.

"Saya baru sahaja diserang secara seksual oleh seorang kanak-kanak," Klein dapat didengar berkata demikian dalam satu video yang dimuat naik di Facebook oleh Jason LittleJohn, seorang penduduk di New York.

Video itu telah ditonton sebanyak lebih 6 juta kali pada Ahad.

Video itu juga menunjukkan budak budak lelaki berusia sembilan tahun dan seorang kanak-kanak lain menangis kerana Klein menghubungi polis.

Orang ramai yang berada di situ dapat dilihat tidak setuju dengan tindakan Klein.

The New York Times melaporkan bahawa Klein kembali ke kedai itu pada Jumaat dan melihat rakaman kamera keselamatan.

Dia dilaporkan mengeluarkan permohonan maaf kepada budak lelaki di depan kamera setelah mendapati beg plastik yang dipegang oleh budak lelaki itu terkena punggungnya, bukannya diraba seperti yang didakwa.

"Kepada budak lelaki itu, saya tak tahu nama kamu tetapi saya minta maaf," katanya, sebelum menafikan bahawa dirinya rasis.

Insiden hampir serupa melibatkan orang kulit putih yang menghubungi polis terhadap orang kulit hitam telah mendapat perhatian yang meluas pada tahun ini.

Dalam satu kejadian, seorang wanita kulit putih yang kemudian digelar 'BBQ Becky' menelefon polis apabila sebuah keluarga berkulit hitam sedang memanggang di sebuah taman.

Dalam satu lagi keadaan, seorang pekerja Starbucks menghubungi polis selepas dua lelaki kulit hitam pada April duduk di kedai kopi itu tanpa membuat pembelian sementara menunggu untuk berjumpa seseorang.

Insiden itu menyebabkan syarikat itu mengumumkan bahawa ia akan menutup semua kedai milik syarikat pada satu petang untuk menjalankan latihan anti perkauman.

serangan seksual, kanak-kanak

Artikel Lain