suria

Budak lelaki alami sepsis, strok selepas keracunan makanan di resort taraf 5 bintang

SEORANG kanak-kanak dari Britain bergelut dengan maut selepas mengalami keracunan makanan ketika menikmati percutian di Mesir.

Kejadian itu menyebabkan dia mengalami beberapa penyakit serius yang lain.

Luay Mohammed, 7, terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi lebih tiga minggu kerana mengalami beberapa komplikasi termasuk sepsis dan strok selepas dijangkiti salmonela.

Kanak-kanak tersebut jatuh sakit di resort bertaraf lima bintang, Tia Heights di Teluk Makadi, Hurghada.

Keadaan kesihatan Luay semakin merosot di rumahnya dan dikejarkan ke hospital.

Pada Khamis, Luay mengalami sawan dan strok.

Pemandangan di resort Tia Heights yang terletak di Hurghada, Mesir.

Ibunya, Fathia Obayd berkata: "Ia sangat menakutkan. Saya sangka kami akan kehilangannya."

Keadaan Luay kini kritikal, namun stabil dan dilaporkan sedang menunggu keputusan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) serta ujian spina bagi membantu doktor mengenal pasti sebarang masalah kesihatan jangka panjang.

Luay juga masih mendapatkan rawatan bagi merawat kegagalan paru-paru.

Tambah Fathia: "Saya berasa marah kerana semua ini berpunca daripada keracunan makanan.

"Luay hanya budak kecil. Dia akan berada di hospital buat sementara waktu, tapi dia kuat melawan penyakit ini."

Ibu berusia 30 tahun itu mengongsikan gambar anaknya untuk memberikan peringatan kepada ibu bapa lain. - Mirror UK

sepsis, strok

Artikel Lain