Lelaki dipenjara kerana bawa pulang 'cenderahati' air rebusan tradisional - Dunia | mStar

Lelaki dipenjara kerana bawa pulang 'cenderahati' air rebusan tradisional

SEORANG lelaki Rusia baru-baru ini dijatuhi hukuman penjara 11 tahun enam bulan kerana membawa pulang dua botol kecil 'ayahuasca', sejenis ubat rohani yang terkenal yang dihasilkan oleh orang asli di Amazon yang dibelinya semasa melawat Peru.

Maxim Gert, penduduk Nizhny Tagil, sebuah bandar di Wilayah Sverdlovsk, Rusia, tidak tahu bahawa cenderahati ringkas yang dibelinya ketika melawat Peru atas urusan kerja itu akan menyebabkan dirinya disumbat ke dalam penjara.

Gert telah lama menderita sakit belakang dan ketika berada di negara Amerika Selatan, seseorang mencadangkan kepadanya untuk bertemu dengan salah seorang dukun tempatan dan mencuba ayahuasca, sejenis air rebusan ramuan tradisional yang dikatakan mempunya sifat psikoaktif.

Tidak jelas sama ada air itu berkesan ketika diminum di Peru, tetapi dia memutuskan untuk meneruskan rawatan ayahuasca di rumah, jadi dia membawa pulang dua botol kecil. Ternyata ia satu kesilapan besar.

Dalam perjalanan pulang dari Peru ke Nizhny Tagil, Gert telah singgah di beberapa negara, tetapi botol ayahuasca langsung tidak pernah menarik perhatian petugas kastam.

Walau bagaimanapun, keadaan berbeza apabila dia mendarat di lapangan terbang Domodedovo, Rusia.

Semasa pemeriksaan rutin, kakitangan lapangan terbang mengambil botol minyak tersebut dan menghantarnya ke makmal untuk diuji.

Hasilnya menunjukkan kepekatan dimethyltryptamine yang tinggi, sebatian psikoaktif yang kuat yang tidak dibenarkan di Rusia.

Gert ditangkap dan didakwa memiliki dadah dengan niat untuk menjualnya.

Peguam lelaki itu mendakwa anak guamnya terkejut dengan tuduhan-tuduhan ini kerana dia tidak pernah membayangkan bahawa ayahuasca dapat menimbulkan masalah.

Dia percaya ia adalah ubat semulajadi yang dapat membantu memulihkan sakit belakangnya.

"Minuman ini bebas dan sah dijual di seluruh Peru, ia adalah harta negara," kata peguam Vladimir Brigadin kepada 1tv.

"Ia dipanggil 'ayahuasca'. Maxim membeli dua botol minuman ini, benar-benar yakin bahawa ia tidak menyalahi undang-undang dan dengan selambanya memasukkannya ke dalam bagasi."

Malangnya, penjelasan ini tidak meyakinkan hakim yang mengetuai kes ini dan Gert baru-baru ini dijatuhi hukuman penjara kerana penyeludupan dadah.

Kekurangan rekod jenayah dan keterangan rakan-rakan dan keluarganya bahawa dia tidak pernah menggunakan atau mengambil dadah nampaknya tidak cukup kuat.

Peguam Gert sudah berusaha merayu, tapi peluang kejayaannya sangat tipis.

Bagi mana-mana pelancong seperti Gert mereka harus berfikir dua kali sebelum membawa balik produk seperti ini ke rumah.

Ayahuasca adalah haram di beberapa negara, bukan hanya di Rusia, tetapi mencetuskan kemarahan ramai berhubung hukuman berat yang ditetapkan dalam kes ini.

Walaupun semua bukti menunjukkan ia adalah satu kecuaian dan kejahilan, tetapi sistem keadilan memutuskan dirinya sebagai penyeludup dadah.

Ini bukan kali pertama seseorang ditahan kerana membawa ayahuasca ke Rusia.

Big Picture melaporkan bahawa hakim yang sama yang menjatuhkan hukuman terhadap Gert, sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara sehingga 3 tahun terhadap seorang dukun Brazil terkenal kerana membawa enam botol minuman hallucinogenik ke Rusia.

Kenapa hukuman Gert lebih panjang? Dikatakan, presiden Brazil sendiri telah campur tangan bagi pihak dukun itu, tetapi lelaki Rusia itu tidak mempunyai hubungan sedemikian.

Kes ini mengingatkan kita kepada satu lagi kes yang mengejutkan keadilan Russia, di mana seorang lelaki dijatuhi hukuman 10 tahun penjara kerana memiliki beg teh herba yang diimport, yang pihak berkuasa mendakwa mengandungi bahan haram. -oddity

ayahuasca , tradisional , Amazon

Artikel Lain