suria

Budak perempuan 7 tahun bakal dikahwinkan demi 50 ekor biri-biri

SEORANG pengarah filem warga Rusia sedang menghasilkan sebuah dokumentari mengenai seorang kanak-kanak perempuan dalam usaha menghalang dia daripada dijual sebagai 'isteri' demi 50 ekor biri-biri apabila dia mencapai usia 11 tahun.

Ivan Vdovin berusaha membantu Zakura keluar daripada laluan berduri yang perlu diharungi kanak-kanak nomad itu selepas dihubungi bapanya, Arafat.

Kini Vdovin, 27, bersedia menghasilkan dokumentari mengenai nasib Zakura bagi merealisasikan harapan bapanya yang tidak sanggup melihat anaknya itu dijual sebagai pertukaran kepada biri-biri selepas dia mula datang haid.

Bapa Zakura yang juga jurupandu Vdovin semasa lawatan penggambarannya sebelum ini pernah menawarkan kepadanya untuk membawa pulang anaknya itu ke Moscow.

Malah Arafat turut membenarkan dia berkahwin dengan anaknya sebaik budak perempuan itu berusia 12 tahun.

Namun permintaan itu ditolak Vdovin secara baik.

"Permintaan itu adalah demi kasih sayangnya terhadap Zakura yang kini berusia tujuh tahun dan dia mahu melihat anaknya itu dibesarkan dalam kalangan masyarakat di mana dia boleh memenuhi potensinya," kata Vdovin.

Zakura bersama adik bongsunya.

Vdovin berjanji untuk kembali dan menghasilkan sebuah dokumentari mengenai Zakura dan kehidupan yang dilaluinya dengan harapan ia boleh membuka peluang kepadanya untuk mendapatkan pendidikan dan menghalangnya daripada menjadi 'isteri' kepada seorang lelaki tua.

"Pada musim panas 2016, saya menghabiskan masa selama sebulan di kawasan gurun pasir di sempadan Israel dan Palestin dengan seorang kru filem.

"Di sini saya mula mengenali Arafat, seorang Bedouin yang tinggal di lembah Wadil Qelt bersama dengan keluarganya.

"Arafat merupakan jurupandu kami dan kemudian menjadi salah seorang kru kami.

"Dia membawa beberapa orang kanak-kanak untuk uji bakat, mencari lokasi untuk merakam haiwan dan menjadi pemandu kami di laluan bergurun dengan kereta Toyota 1984 miliknya.

"Hubungan kami jadi rapat dan dia memperkenalkan saya dengan keluarganya.

"Arafat ada tiga orang anak dengan dua isteri, anak sulungnya berusia 10 tahun, Zakura, 5, dan anak bongsunya, 3.

"Zakura gembira apabila gambarnya diambil dan dia satu-satunya perempuan yang dibenarkan untuk bercakap dengan kami dalam tempoh itu.

Zakura gemar mengambil gambar. 

"Dalam tradisi masyarakat Bedouin, bapa kepada kanak-kanak perempuan akan menjualnya untuk mendapatkan haiwan ternakan daripada pengantin lelaki sebagai sahaja mereka datang haid seawal usia 11 atau 12 tahun.

"Bapa Zakura menganggarkan nilai anaknya itu bersamaan dengan 50 ekor biri-biri yang dianggap sebagai harga terbaik ditawarkan kepada pengantin lelaki yang boleh jadi lebih tua daripadanya.

"Selepas tinggal bersama suaminya, kanak-kanak itu tidak boleh berhubung dengan dunia luar. Dia hanya boleh berkomunikasi dengan kakak kepada suami, ibu atau anak-anaknya sahaja.

"Kanak-kanak itu juga akan dipaksa untuk segera mengandung selepas dikahwinkan," katanya.

Selepas bekerja dengan Arafat selama tiga minggu, bapa kepada Zakura bertanya soalan serius kepadanya.

"Kami duduk di atas pasir dekat dengan rumahnya. Dia meletakkan cerek di atas api kecil dan kemudian bertanya saya dalam Bahasa Inggeris."Anda suka anak perempuan saya?".

Vdovin bersama Zakura.

"Saya terkejut dan mengangguk setuju."

"Dia kata:"Anda bawa Zakura pulang ke Moscow, besarkan dia sehingga 12 tahun dan kemudian kahwini dia jika anda mahu."

Namun Vdovin memberitahu dia menyayangi Zakura sebagai seorang bapa.

"Saya sayang dia sebagai seorang bapa tetapi saya tidak lihat peluang dia boleh keluar daripada tradisi masyarakat itu," katanya.

Vdovin berjaya mengumpul wang sebanyak 3, 375 pound sterling untuk menghasilkan dokumentari bertajuk 'Zakura, gadis Bedouin'.

Namun jumlah itu masih tidak mencukupi dengan kos sebenar penggambaran dianggarkan bernilai 11, 275 pound sterling.

Dia akan membiayai lebihan kos itu dan berharap dokumentari berdasarkan kisah benar tersebut akan disiarkan pada tahun depan.

Zakura, biri-biri, Bedouin


Artikel Lain