suria

Pelajar tuntut tiada kuliah 8 pagi, universiti setuju

Universiti Durham dari pandangan udara. Foto- Rex Images

SEBUAH universiti di England terpaksa melakukan penjadualan semula untuk semua kuliah jam 8 pagi berikutan protes daripada pelajar dan kakitangan.

Menurut kertas bantahan yang dibuat terhadap Universiti Durham, empat modul untuk kursus Perniagaan dan Undang-Undang yang sebelum ini kuliahnya ditetapkan pada awal pagi kini telah disusun semula.

Kertas itu melaporkan bahawa pihak universiti telah bertemu dengan wakil daripada kakitangan dan kumpulan pelajar, termasuk Persatuan Pelajar Kurang Upaya Siswa dan Kesatuan Pelajar Durham.

Ramai mencadangkan kuliah yang diadakan awal pagi menimbulkan beberapa isu melibatkan masa dan penjadualan.

Universiti Durham mempunyai misi untuk meningkatkan pendaftarannya dari 17,500 pelajar kepada 21,500 pelajar menjelang 2027.

Pelajar berkata mereka bimbangkan kesan kuliah terlalu awal terutama bagi mereka yang tinggal di luar Durham, yang mempunyai anak atau komitmen keluarga lain, atau yang mengalami penyakit dan kecacatan.

Protes menyebabkan berlakunya penjadualan semula kelas pukul 8 pagi.

Presiden Kesatuan Pelajar Durham George Walker berkata keputusan itu adalah 'berita hebat - tetapi bukan hanya kerana pelajar tidak perlu bangun awal’.

“Berita yang hebat untuk pencapaian pelajar dan menjadikan pendidikan dapat diakses oleh semua pelajar terutama mereka yang kurang upaya dan memikul tanggungjawab.”

Profesor Alan Houston berkata: “Jadual awal Universiti Durham untuk 2018-19 termasuk empat modul dalam kursus Perniagaan dan Undang-Undang kuliahnya akan diajar pada pukul 8 pagi. Pelajar dan kakitangan menyatakan kebimbangan mengenai kemungkinan ini.

“Kami telah mendengar dan menjawab. Bekerjasama rapat dengan pelajar dan jabatan, Pejabat Pendaftar Pelajar meneliti semua alternatif. Terima kasih atas kerja keras mereka, saya dengan sukacitanya melaporkan bahawa tidak akan ada kuliah 8 pagi yang akan dijadualkan pada tahun akademik berikutnya.”

Beliau menambah bahawa pusat pengajaran dan pembelajaran baharu yang akan dibuka pada September depan akan menyediakan ruang kuliah tambahan untuk membantu mengurangkan tekanan yang timbul akibat jadual waktu. -MetroUK

Universiti Durham

Artikel Lain