Tak 'ngam' dengan majikan, amah campur peluntur dalam botol mandian bayi - Dunia | mStar

Tak 'ngam' dengan majikan, amah campur peluntur dalam botol mandian bayi

-Gambar hiasan

POLIS Hong Kong menahan seorang pembantu rumah kerana disyaki mendera seorang bayi berusia enam bulan pada Isnin, selepas dia dituduh meletakkan peluntur ke dalam botol cecair mandian bayi.

Kejadian itu disedari apabila ibu bayi berkenaan menyediakan air mandian untuk anaknya di kediamannya di Lok Ha Square, Fo Tan, kira-kira pukul 12.30 tengah hari Isnin.

Timbul rasa curiga apabila ibu berusia 35 tahun itu berasa tangannya seperti terbakar dan kulit anaknya menjadi kemerah-merahan, menurut sumber polis.

Difahamkan pembantu rumah Filipina berusia 39 itu mengakui dia telah menambah peluntur dalam botol cecair mandian bayi berkenaan, sambil menyatakan ia telah digunakan untuk membersihkan tandas.

Pegawai dan paramedik dihantar ke kediaman flat itu apabila si ibu menghubungi polis. Bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Prince of Wales untuk pemeriksaan kesihatan.

Selepas soal siasat, pihak polis menahan pekerja domestik itu kerana disyaki melakukan salah laku atau mengabaikan seorang bayi. Detektif dari unit penyiasatan jenayah Sha Tin sedang mengendalikan kes itu.

Maklumat awal menunjukkan pembantu rumah itu telah bekerja untuk keluarga tersebut selama kira-kira satu setengah tahun dan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan majikan, kata sumber itu.

Katanya, pembantu rumah itu berhenti kerja pada Sabtu dan hari terakhir dia bekerja pada hari Selasa.

Sehingga Selasa petang, suspek masih ditahan untuk disoal siasat dan belum dituduh.

Di Hong Kong, menyerang dengan sengaja, tidak menjaga atau mengabaikan seorang kanak-kanak di bawah umur 16 tahun di bawah penjagaan seseorang dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara.

Menurut statistik rasmi, Jabatan Kebajikan Masyarakat mengendalikan 236 kes penderaan kanak-kanak pada tiga bulan pertama tahun ini. Kira-kira 45.3 peratus kes melibatkan penyalahgunaan fizikal. -SCMP

pembantu rumah , dera , peluntur

Artikel Berikut

Artikel Lain